Para cendekiawan, ilmuwan dan pemikir sastera silih berganti memberi gagasan ke arah pembentukan teori tempatan.

Akhirnya tercipta Puitika Sastera Melayu Muhammad Haji Salleh, Pengkaedahan Sastera Melayu oleh Hashim Awang dan Takmilah ciptaan Shafei Abu Bakar

Penulis juga terpanggil untuk menggagaskan teori sastera. Penulis mewacanakannya dalam Utusan Malaysia. Pada waktu itu pengarangnya ialah Johan Jaaffar (Tan Sri) yang meminta penulis menulis artikel sastera setiap minggu dan terhasil 186 buah tulisan semuanya. Janin teorinya ialah pada 18 September 1993 Tentang Jebat, 25 September 1993 Mengukuhkan Teks Sastera dan 2 Oktober 1993 dengan Prinsip Keperibadian Pengarang. Ketiga-tiganya membicarakan definisi, konsep dasar dan prinsip teori yang kemudiannya disimpulkan pada minggu berikut dengan artikel Keunggulan Teks: A Theoretical Beginning. Akhirnya ia dinamakan dengan teori sastera teksdealisme. Teori ini berkembang dengan mendapat momentumnya di zaman seterusnya. Terima kasih kepada Johan Jaaffar dan Utusan Malaysia.

Bercakap tentang sumbangan Utusan, tidak sah tanpa menyentuh Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), yang diformalisasikan sejak 1985. Ada tanda-tanda menunjukkan barisan panel memilih karya bentuk baharu dan sebahagiannya beraroma pascamoden. Tidak syak lagi HSKU membuka ruang kepada penulis muda bereksperimen, dan penulis mapan memampatkan teksnya. Meski pun berbeza wawasan dan mekanisme berkarya, tetapi mempunyai suatu matlamat dan keunggulan teks. Kebanyakan pengarang itu bergraduat, intelektual dan terdedah pada teori, justeru mereka membesar melalui HSKU dengan mengalami mutualiti, iaitu proses timbal balik antara penerokaan dengan pembinaan jati diri kepengarangan.

Antara nama penting; S.M.Zakir, Malim Ghozali PK, Zainal Rashid Ahmad, Salina Ibrahim, Mawar Shafie, Aminah Mokhtar, Husna Nazri, Abizai, Solihin Osman dan Ghazali Din, sebagai contoh nama-nama yang sering bergelar pemenang. Mereka berjaya membina subjektiviti teks dan keperibadian tekstual diramu dengan permasalahan kontekstual yang memetakannya sebagai tokoh penting zaman mutakhir ini.

Tiga buah novel Mohd. Yusof, 1515 Faisal Tehrani dan Versi Aria Mohd Arif Mohamad sering menjadi ikonikal kepada HSKU. Novel 1515 paling banyak mengundang resepsi. Peristiwanya tidak kronologikal dua kisah Tun Nyemah Mulya dan Adi Fimiyun bergerak paralel dan menuju satu pusat. Bancuhan sejarahnya pekat dan fragmental, membawa semangat Melayu yang kukuh. Bagi penulis ia adalah teks metahistoriografik. Novel lainnya mengamalkan kaedah intertekstual dan parodi. Semuanya teks pascamoden.

Tidak syak lagi, seandainya penulis Utusan sejak kebangkitannya berjaya mengemukakan Keris Mas dan Usman Awang sebagai pemenang Anugerah Sastera Negara, pengarang HSKU akan bergerak pada jalur takdir yang sama. Cuma sayangnya, sebagai contoh Faisal Tehrani setelah berjaya melakukan perlanggaran dengan metahistoriografik tetapi tidak mengukuhkannya. Melakukan perlanggaran, harus bersedia pula dengan pengukuhannya, istiqamah dan akhirnya akan membina subjektiviti dan jadi diri untuk mencapai keunggulan.

Tulisan kecil ini ibarat setitik air dalam lautan jasa Utusan terhadap perkembangan sastera tanah air. Jasamu tetap dikenang oleh setiap insan yang bernama pengarang dan khalayak sastera seluruhnya. Selamat menyambut hari jadi ke-80 Utusan.