Malah, ada dalam kalangan guru berubah wajah apabila diarah bertukar ke kawasan tersebut walaupun jaraknya kira-kira sejam sahaja dari Kuala Lumpur.

Kini segalanya berubah.Sendayan dahulu bukan yang sekarang. Jalan tanah merah sudah diturap cantik manakala kemudahan sudah lengkap. Ada juga kalangan penduduk yang tidak kisah berulang-alik dari ibu negara ke kawasan tersebut.

Kawasan yang dahulunya merupakan rancangan tanah Felda Sendayan terletak kira-kira 15 kilometer dari Seremban. Tanah rancangan ini mula diteroka pada tahun 1963 oleh 40 orang peneroka di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kemudiannya berkembang hingga mempunyai 513 orang peneroka.

Daripada jumlah berke­naan, seramai 406 peneroka berketurunan Melayu, 46 Cina dan 61 keturunan India.

Namun, ada kisah di sebalik nama Sendayan yang semakin dilupakan. Segalanya bermula pada pertengahan tahun 1997 apabila berlaku kegawatan ekonomi di banyak negara termasuk Malaysia.

Akibatnya, banyak projek terganggu termasuklah membabitkan projek Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKKNS) yang telah mengadakan perjanjian usa­ha sama dengan MHS Land Sdn. Bhd. untuk memajukan Kampung Sendayan setahun sebelum itu.

Syarikat terbabit gagal membuat pembayaran kepada peneroka yang ditawarkan pembelian tanah dengan harga kira-kira RM 1.2 juta seorang selepas perjanjian jual beli ditandatangani pada 13 November 1996 dan masalah berlarutan selama lebih 10 tahun.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjawat jawatan itu sejak 2004 mengambil alih dan cuba menyelesaikan masalah berkenaan.

Perbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil alih projek terbabit daripada syarikat swasta dengan menawarkan pakej menarik kepada peneroka di bawah Skim Pembayaran Pampasan Tanah dan Pembangunan Felda Sendayan.

Antara manfaat ditawarkan adalah wang tunai lebih RM500,000, sebuah banglo dan lot tanah pertanian untuk diusahakan yang sudah semestinya bukan sahaja bermanfaat kepada peneroka, tetapi kepada generasi muda untuk jangka masa panjang.

Pakej ini diberi rentetan pengajaran daripada kisah jutawan segera Felda Lyndon B. Johnson (LBJ) yang rata-rata hilang harta dalam sekelip mata. Tok Mat tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, maka pakej yang lebih bersifat strategik dan bermanfaat di tawarkan.

Akan tetapi, ada juga yang meragui usaha Tok Mat sehingga 47 peneroka membawa kes tersebut ke mahkamah untuk menyaman kerajaan ne­geri dan pemaju lama.

Akhirnya, rayuan mereka ditolak dan hanya menerima manfaat yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding peneroka lain.

Mereka juga tidak mene­rima banglo dan lot tanah pertanian, malah terpaksa membayar kos guaman yang tinggi kerana kes itu berlarutan dalam tempoh yang lama. Untuk peneroka yang terus bersabar, mereka menerima habuan seperti yang dijanjikan dengan keseluruhannya bernilai lebih kurang RM 1.2 juta.

Pampasan ini adalah dalam bentuk wang tunai antara RM450,000 dan RM685,780 seorang. Di samping itu setiap seorang diberi tanah pertanian pegangan bebas seluas 0.8 hektar dengan dianggarkan bernilai RM348,480 dan juga sebuah banglo setingkat empat bilik dengan kelua­san ta­nah 10,000 kaki persegi bernilai kira-kira RM240,000.

Mereka menerima pampasan pada 23 Februari 2006 dengan disempurnakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kini, harga hartanah dan perumahan di Sendayan te­rus meningkat.

Banglo yang dahulunya berharga sekitar RM240,000 nilainya sudah mencecah hampir RM1 juta.

Felda Sendayan juga akan dibangunkan menjadi bandar baru bernama Bandar Sri Sendayan.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan