Yusof bertuah kerana beliau memiliki rakan-rakan seperjua­ngannya yang sedia berkorban bersama-samanya seperti Abdul Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Abdul Aziz Ishak, Othman Wok, Zainal Abdin Haji Alias (ZABHA), Said Zahari, Melan Abdullah, Keris Mas, Usman Awang dan ramai lagi demi kelangsungan suara keramat ini.

Selain itu, kejayaan Yusof Ishak membangunkan Utusan Melayu di­­­­ peringkat awal sebenar­nya banyak dico­rakkan oleh ke­pimpinannya yang tegas dan mementingkan disiplin yang ketat. Faktor itulah yang menjadikan Utusan Melayu masih bernafas sehingga ke hari ini.

Pekerja-pekerja Utusan menerima disiplin begitu ketat tanpa protes malah menganggap sebagai suatu hal yang wajar dan biasa.

Sifat dan sikap Yusof yang tegas dan garang menyebabkan pekerja bawahannya menikus apabila beliau muncul pada saat-saat akhir pengatur huruf menyiapkan halaman demi halaman Utusan Melayu untuk dicetak pada hari tersebut.

A.Samad Ismail melukiskan suasana Jabatan Pengarang dan Bahagian Percetakan Utusan Melayu era Queen Street dan Cecil Street di Singapura.

“Yusof tercegat seperti tiang memerhatikan pekerja-pekerja itu menyelenggarakan tugas masing-masing tanpa berkata sepatah pun. Muka­nya masam dan matanya tajam memerhatikan setiap ge­rak pekerja-pekerjanya itu”. (A. Samad Ismail 1993: 110).

Apa lagi kalau menjelang waktu cetak dan halaman belum siap, Yusof akan tercegat di situ sehingga halaman yang lambat itu disiapkan.

Pekerja-pekerja amat takut dengan Yusof Ishak. Beliau garang dan bengis terhadap mereka yang melakukan ke­salahan. Mereka yang me­lakukan kesalahan yang agak berat dibuang kerja ketika itu juga tanpa maaf dan ampun.

Hakikat ini menurut A.Samad Ismail dalam buku A.Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan (1991) ba­nyak mempe­ngaruhi falsafah kerja Jabatan Pengarang untuk beberapa tahun lamanya sehingga selepas Perang Dunia Kedua.

PENGKHIANAT

“Yusof bila menengking herdik pekerja-pekerja Utusan yang malas dan culas akan berteriak: Awak... pengkhianat! Awak ... pengkhi­anat kepada bangsa sendiri! Keluar! Keluar ini jam juga...” (A.Samad Ismail 191: 136).

Bagi Yusof Ishak, mereka yang malas dan cuai ber­khidmat dengan Utusan Me­layu seolah-olah telah mengkhianati pemegang-pemegang saham Utusan Melayu yang kebanyakkannya terdiri daripada rakyat jelata yang miskin.

Siapa yang datang lambat bahkan sepuluh minit pun bagi Yusof ialah ‘pengkhi­anat’. Siapa yang merosakkan harta benda syarikat walaupun tidak sengaja adalah pengkhianat. “Di Utusan Me­layu pada masa itu, kalau hendak bekerja lama mestilah tahan di maki hamun, diherdik dan didera.Kalau telinga nipis janganlah harap akan bekerja lebih sebulan. Bila saya be­kerja pada tahun 1941, ramai orang meramalkan saya tidak akan tahan lebih sebulan. (A. Samad Ismail 1991: 136).

Yusof Ishak pernah di­tanya oleh A. Samad Ismail mengapa beliau perlu garang dengan orang bawahannya. Yusof membe­ritahu, beliau terpaksa garang dan bengis supaya tidak ada pekerja yang mengambil ke­sempatan terhadapnya dan Utusan Melayu.

“Kalau saya beri muka, mereka nanti ambil kesempatan. Kita mesti kerja lebih kuat, lebih tekun dari lawan kita. Kalau kita tidak kerja mati-matian, kita tak boleh survive. Kalau Utusan mati, jangan harap kita dapat me­nubuhkan sebuah lagi syarikat seperti ini” (A.Samad Ismail 1993: 111).

TERKORBAN

Menurut Zainuddin Maidin dalam bukunya Di Depan Api Di belakang Duri: Sejarah Utusan Melayu (2013), walaupun Yusof Ishak telah bekerja bermati-matian dan berkorban untuk Utusan Melayu akhir­nya beliau ‘terkorban’ akibat tekanan politik. Yusof Ishak terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Urusan dan Pengarang Utusan Me­layu.

“Jika pada malam kejayaannya mengumpulkan modal untuk menerbitkan Utusan Melayu pada tahun 1939 beliau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang paling gembira di Singapura tetapi pada tahun 1959 beliau melangkah keluar dari Utusan Melayu dalam keadaan terpaksa dan menitiskan air mata oleh kerana tekanan politik dari dalam dan luar.

“Yusof yang dalam ke­adaan apa pun lebih meng­utamakan survival Utusan Melayu daripada kepentingan politik tetapi akhirnya menjadi mangsa kepada suatu keadaan yang tidak lagi dapat dikawalnya” (Zainuddin Maidin 2013:3).