Malah, kejayaan itu juga membawa Melan ke Tokyo Jepun pada tahun 1963 untuk membuat liputan khas rundi­ngan menamatkan konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia antara Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Presiden Sukarno.

Sebagi seorang nasiona­lisme, tugas beliau bukan sekadar seorang wartawan akhbar Utusan Melayu malah beliau memainkan peranan yang proaktif untuk me­nyedarkan rakyat supaya mereka bersama-sama mempertahankan negara ini daripada gerakan subversif akibat kempen Sukarno ‘Ganyang Malaysia’ yang sedang memuncak.

Zainuddin Maidin menerusi tulisannya bertajuk Melan Abdullah – Ejen Reformasi Nasionalisme Melayu (2005) yang diselenggarakan oleh Chamil Wariya terbitan Malaysian Press Institute (MPI) menyatakan Melan mengepalai gerakan perang saraf atas nama Barisan Bertindak Rakyat untuk me­merangi dakyah Sukarno itu. Beliau juga mengetuai usaha me­nyerang balas Kedutaan Indonesia di Ampang, Kuala Lumpur berikutan serangan terhadap Kedutaan Malaysia di Jakarta pada 16 September serentak dengan terputusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Tindakan ini diikuti dengan tunjuk-tunjuk perasaan membakar patung-patung Presiden Sukarno, Menteri Luar, Su­bandrio dan pemimpin Parti Komunis Indonesia (PKI), D.N Idid di seluruh negara yang disertai setiap perhimpunan oleh lebih daripada sepuluh ribu orang” (Zainuddin Maidin 2005: 109).

Chamil Wariya dalam tulisannya Melan Abdullah Bukan Sekadar Wartawan (1989) yang diterbitkan dalam buku Di sebalik Jendela Utusan Sempena Ulang tahun ke-50 Utusan Me­layu (1989) menyatakan, dalam membangkitkan kesedaran ini Utusan Melayu tidak melakukannya dengan menyiarkan tulisan yang anti Sukarno sahaja.

Dakyah

Menurut Chamil, atas daya usaha Pak Melan, telah ditubuhkan Front Bertindak Rakyat Malaysia bagi bertindak menangkis, menggembeleng semangat dan perasaan rakyat menentang apa yang dianggap oleh Sukarno sebagai ‘Ganyang Malaysia’.

“Kerana tidak mahu mereka terpengaruh dengan dakyah Sukarno itu, dalam kempen Front Bertindak Rakyat Malaysia dalam rapat-rapat umum yang diadakan memberitahu bahawa semasa menghadapi konfrantasi Indonesia yang ditentang bukan rakyat Indonesia tetapi pimpinan Sukarno yang didokong oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) yang tidak senang dengan pembentukan Malaysia.

“Inilah sentimen yang digunakan untuk mempengaruhi orang Melayu di Tanah Me­layu supaya tidak bersimpati dengan Sukarno. Orang-orang Melayu berjaya ditarik supaya menyokong kerajaan dalam memerangi kempen Ganyang Malaysia” (Chamil Wariya 1989: 72).

Chamil me­nya­takan, keja­yaan Front Ber­tindak Rakyat itu tidak disenangi oleh anasir-anasir pro Sukarno yang berada di Malaysia. Akibatnya, Pak Melan banyak menerima surat ancaman bahawa beliau akan dibunuh sekirannya meneruskan kempen menentang Sukarno.

“Beliau juga menerima peluru sebagai amaran bahawa nyawanya terancam dengan tindak tanduknya itu. Cebisan kain putih juga dikirimkan kepada beliau dalam usaha untuk memaksa beliau supaya jangan meneruskan kempen Front Bertindaknya. Pak Melan tidak mempedulikan ancaman terhadapnya dan meneruskan rapat-rapat umum yang diadakan” (Chamil Wariya 1989).

Zainuddin Maidin dalam bukunya Wira Tak Didendang (2004) menyatakan tindakan Presiden Sukarno menghantar tentera menyusup ke Malaysia bagi melakukan sabotaj antara tahun 1964-1965 ternyata gagal.

Ini kerana, orang keturunan Indonesia sendiri telah memberikan maklumat tentang penyusupan tentera dan sukarelawan Indonesia di Labis dan Pontian. Kesemua musuh negara ini berjaya di­tumpaskan dan ditawan.

“Pelarian Indonesia yang tidak bersetuju dengan Sukarno yang menetap di Malaysia juga turut menyatakan so­­ko­ngan terhadap Malaysia” (Zainuddin Maidin (2004: 63).

Lagu Barisan Kita

Malah apa yang lebih menarik, seorang penggubah lagu Indonesia yang terkenal Saiful Bahari telah mencipta lagu patriotik “Barisan Kita” untuk tentera Malaysia dan juga untuk membangunkan semangat rakyat Malaysia menentang konfrantasi Indonesia

Menurut Zainuddin Maidin dalam bukunya Pertama dan Terakhir (1980), lagu Barisan Kita ini bergema hebat semasa era konfrantasi Indonesia-Malaysia.

“Saiful Bahari adalah seorang rakyat Indonesia tetapi dengan mencipta lagu itu bukanlah bererti bahawa beliau telah mengkhianati bangsa Indonesia sebaliknya membuktikan kepada kita bahawa ba­ginya bangsa Melayu Malaysia adalah juga bangsanya” (Zainuddin Maidin 1980: 64)

Sumber: Pusat Maklumat Utusan