William R. Roof dalam bukunya “The Origin of Malay Nationalisme” (1980) dalam bab “The Growth of an Intelligentsia” menyatakan, sehi­ngga penghujung tahun 1930-an, sungguhpun pe­ranan penting dimainkan oleh intelek Melayu dalam sidang pengarang dan lapangan kesusasteraan kewartawanan yang menggunakan bahasa Melayu semakin bertambah besar, namun semua surat khabar kota yang utama (surat khabar saudara, Warta Malaya, Lembaga, Majlis) dikongsi dan dikuasai oleh Orang-orang bukan Melayu - Arab, Arab-Melayu dan Jawi Peranakan.

“Tiadanya surat khabar yang benar-benar asli sebagai gelanggang melahirkan pendapat orang-orang Melayu sudah menimbulkan kekhuatiran di kalangan orang Melayu berberapa tahun lamanya terutamanya di Singapura ke­rana di Singapura perhubu­ngan antara orang Melayu dan bukan Melayu sudah tegang sejak tahun 1920-an lagi” (William R. Roof 1980: 174).

Menurut Roof lagi lagi Utusan Melayu yang di ketuai Yusof Ishak terpaksa menghadapi perjuangan yang sengit selama beberapa bulan pertama kelahirannya untuk hidup melawan saingannya akhbar Warta Malaya dan Lembaga.

Justeru itu, tidak menghairankan apabila Yusof sendiri bersikap ‘skeptikal’ terutamanya terhadap akhbar Warta Malaya yang dimodali oleh saudagar Arab, Syed Hussein Al-Sagoff

Menurut A.Samad Ismail dalam “Memoir A.Samad Ismail di Singapura” (1993), apabila Ibrahim Yaacob, Pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) membeli Warta Malaya dari Syed Hussein Al Sagoff, Yusof Ishak tidak menganggap beliau sebagai seorang nasionalis tulen sebab beliau membeli akhbar itu dengan wang pembiyaan oleh Jepun.

Pengkhianat

Demi survival Utusan Me­layu, Yusof lantas menjadikan Warta Malaya dan Ibrahim Haji Yaacob sebagai seterunya walaupun beliau sendiri pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengurus di bawah pimpinan Syed Hussein Al Sagoff.

“Yusof menganggap Ibrahim telah mengkhianati Utusan Melayu kerana membeli Warta Malaya daripada Syed Hussein Al Sagoff. Pendirian Yusof terhadap Warta Malaya mudah saja. Akhbar itu kepunyaan Arab dan kerana itu menjadi musuh Utusan Melayu dan mesti diakhiri riwayatnya. Barang siapa yang menolong Warta Malaya hidup terus, walaupun dalam bentuk yang berlainan adalah pengkhianat” (A. Samad Ismail 1993:98).

Hamedi Mohd. Adnan dalam bukunya 100 Akhbar Melayu (2015) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyatakan Warta Malaya yang menggunakan cogan kata “Muafakat dan Bantuan itulah Tangga Kemajuan Yang Berkekalan” menjadi saingan kuat Utusan Melayu namun mampu mengukuh­kan impiannya sebagai akhbar utama orang Melayu era 1940-an.

beriTA MALAI

Perseteruan antara Utusan Melayu dan Warta Malaya mencapai kemuncaknya selepas kedatangan Jepun ke Tanah Melayu menyebabkan penggabungan akhbar paling berpengaruh itu mematikan keunikan yang dimiliki oleh kedua-dua akhbar tersebut.

Gabungan Warta Malaya dan Utusan Melayu dijadikan sebagai alat propaganda Jepun yang yang bernama “Be­rita Malai”.

Namun begitu, akhbar Warta Malaya yang diterbitkan semula pada Mac 1942 gagal menambat hati pembacanya sehingga memaksa diberhentikan terus pada 14 Ogos 1942.

Penutupan Warta Malaya itu suatu rahmat besar kepada Utusan Melayu yang terus menjadi akhbar berpengaruh di Singapura dan Semenanjung menerusi slogan “Lidah Melayu” tanpa saingan mana-mana akhbar lagi.

ESOK: Yusof Ishak dan survival Utusan Melayu