Menurut A. Samad Ismail melalui rencana bertajuk “Hubungan Persuratkhabaran Dengan Pemerintah” yang di siarkan dalam Mastika terbitan Ogos 1957, akhbar Utusan Melayu hilang wataknya sebagai akhbar kebangsaan yang tulen semasa pendudukan Jepun.

“Akhirnya Berita Malai menggantikan kedua-duanya Utusan Melayu dan Warta Malaya,” tulis A. Samad Ismail.

Pada 16 Februari tahun itu, Utusan Melayu diterbitkan semula  atas desakan pihak Jepun tetapi bergabung de­ngan Warta Malaya. Namun begitu, pihak Jepun menggunakan nama Berita Malai (Malai Sinbun) dalam tulisan jawi dan rumi semata-mata khusus untuk tujuan propaganda pihak Jepun.

Menurut Mazlan Nordin dalam bukunya Tokoh dan Akhbar Melayu (2009) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, dua faktor mempengaruhi  peranan Berita Malai pada masa itu iaitu pertama ia diterbitkan di Cecil Street Singapura di ba­ngunan yang menerbitkan akhbar Inggeris terkemuka Straits Times, dengan kelengkapan press yang paling moden.

Kedua, kehadiran pe­ngarang ge­nerasi muda waktu itu. Ga­­bungan wartawan ang­katan la­ma dan ang­katan baharu dalam Jabatan Pengarang mengendalikan Berita Malai dan majalah bulanannya Semangat Asia telah mencorakkan akhbar tersebut sebagai akhbar yang mempunyai indentiti tersendiri.

“Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad dan A. Samad Ismail berkhidmat dengan  Berita Malai pada masa itu  di samping beberapa wartawan muda yang pernah bergerak dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum perang” (Mazlan Nordin 2009:31).

Abdul Rahim Kajai yang menjadi Pengarang Berita Malai meneruskan tradisi meniupkan semangat kebangkitan bangsa Me­la­yu selain  memupuk kegiatan kesusasteraan di Nusantara.

“Isu-isu kepenti­ngan bangsa Melayu yang tadinya popular  pada zaman sebelum perang seperti soal Tanah Melayu, kaum  tua dan  kaum muda, hak Melayu dalam hubungannya dengan hak kaum Cina dan India, takrif Melayu yang menjadi platform Kajai sebelum perang semuanya timbul  dalam masa tiga tahun sete­ngah pendudukan Jepun di Singapura dan Tanah Melayu.

“Berita Malai penuh de­ngan anjuran kepada bangsa  Melayu supaya berdikari, supaya patriotik mencintai  bangsa dan negara, supaya mempercayai diri sendiri, supaya mengejar kemajuan untuk menjadi bangsa yang besar dan Indonesia dirujukkan sebagai contoh, Tentunya  semua anjuran ini dise­rapi dengan propaganda untuk kepentingan  Jepun” (Mazlan Nordin: 2009: 32).