Kandungan perjanjian itu menyebut: “BAHAWA SA-NYA dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, maka te­lah di-adakan sharat bagi me­nubohkan sa-buah negeri Persekutuan Tanah Melayu yang me­ngandungi Negeri2 Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak, dan Melaka serta Pulau Pinang” (Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia (Old Treaties & Documents of Malaysia 1791-1965 ter­bitan Institut Terjemahan Ne­gara Malaysia 2008).

Menurut Abdul Aziz Bari dalam bukunya Perlembaga­an Malaysia: Asas-asas dan Masalah (2015), apabila pihak British terpaksa membatalkan gagasan Malayan Union, mereka mengemukakan sebuah for­mula yang mengembalikan kedudukan raja-raja dan orang-orang Melayu.

SIDANG Pleno mesyuarat cadangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 November 1946 di King’s H
SIDANG Pleno mesyuarat cadangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 November 1946 di King’s House
Kuala Lumpur. Duduk dari kiri Sultan Ibrahim (Kelantan), Sultan Abu Bakar (Pahang), Tunku Abdul Rahman (Negeri
Sembilan), Sultan Hishamudin Alam Shah (Selangor), Gabenor Jeneral Malcom MacDonalds, Raja Abdul Rashid (Perak), Sultan Badlishah (Kedah), Sultan Ismail (Terengganu), Tunku Syed Putra (Perlis) dan Tunku Mahkota Ismail (Johor). 

“Formula ini terkandung dalam sebuah perlembagaan yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Bagaimanapun, sebahagian daripada ciri-ciri yang ada dalam Malayan Union pada tahun 1946 dikekalkan.

“Di bawah format 1948 ini, Tanah Melayu menjadi sebuah persekutuan secara formal, dengan Pesuruhjaya Tinggi British sebagai pihak berkuasa tertinggi. Beliau, di sisi undang-undang menjalankan autoriti yang diamanahkan oleh Raja Britain dan sembilan orang Raja-raja Melayu” (Abdul Aziz Bari 2015: 15).

Melalui perjanjian ini, orang Melayu dijamin mendapatkan kembali hak-hak dan keistimewaan mereka yang lalu dan Sultan telah mendapat semula kuasa terhadap negeri-negeri baginda.

Perjanjian Persekutuan Ta­nah Melayu yang telah diperkenalkan itu bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki ke­­dudukan orang Melayu te­ta­pi telah meletakkan UMNO pada satu tahap kedudukan yang istimewa sebagai juara memperjuangkan hak-hak bang­­sa Melayu.

Walaupun UMNO mendapat kemenangan menentang Malayan Union dan wujudnya Persekutuan Tanah Melayu namun, Utusan Melayu meneruskan perjuangan menentang pem­bentukan kesatuan itu ke­rana kerajaan British masih mengekalkan ciri-ciri tertentu Malayan Union.

Menurut Abdul Samad Idris dalam buku 25 Tahun Merdeka (1982) mencatatkan bahawa, Utusan Melayu yang dipimpin oleh Yusof Ishak mempelopori penentangan itu tetapi sebuah lagi akhbar Melayu lain Majlis yang diterbitkan di Kuala Lumpur adalah penyokong kuat kelahiran Persekutuan Tanah Melayu.

WAKIL Kerajaan British Sir Edward Gent berucap selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandata
WAKIL Kerajaan British Sir Edward Gent berucap selepas Perjanjian  Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu pada 1 Februari 1948.

“Penentangan akhbar Utusan Melayu ini tidak menghairankan begitu juga soko­ngan akhbar Majlis kerana dari awal-awal lagi kedua-dua akhbar yang bertentangan di antara satu sama lain.

“Akhbar Utusan Melayu ba­nyak menyiarkan berita dan da­sar yang menyokong parti-parti kiri sementara akhbar Majlis satu-satunya akhbar Melayu yang menyokong kuat UMNO” (Abdul Samad Idris 1982: 126).

Utusan berpendapat, jika Ma­layan Union yang dipulau oleh orang Melayu dan mendapat simpati pegawai tinggi British seperti Sir Frank Sweetenham dan Sir Richard Winstedt, persekutuan ini juga mempunyai agenda yang sama.

Malah, Winstedt, sejarawan kolonial yang memahami kesusasteraan dan kebudayaan Me­layu mengatakan : The end of the Malay race dalam tulisannya bertajuk The Ugly Duck yang disiarkan majalah Crown Colonist, mengecam ketamakan British itu.