Menurut Mohd. Sohaimi Esa dalam artikel bertajuk ‘Sumbangan Tun Abdul Razak Dalam Membina Hubungan Malaysia-Indonesia’ yang di­siarkan dalam ‘www.myjurnal.my’, serentak dengan itu juga Indonesia dan Filipina tidak memberi pengiktirafan hubungan diplomatik ke atas negara baru itu dan memutuskan hubungan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

“Kerajaan Filipina terus menentang penubuhan Malaysia apabila menuntut Sabah sebahagian daripada wilayahnya. Sementara perbalahan antara Indonesia dengan Malaysia terus berpanjangan sejak 13 Februari 1962 apabila Presiden Sukarno mengisytiharkan Malaysia sebagai projek neokolonial yang mesti diganyang,” tulis Mohd. Sohaimi Esa lagi.

Namun begitu, pencerobohan serta pendaratan tentera Indonesia di Semenanjung Malaysia pada bulan Ogos, September dan Oktober 1964 serta meningkatnya bilangan tentera di perbatasan Borneo dan Sumatera, amat mencemaskan Malaysia.

Melihat pencerobohan Indonesia yang semakin berani itu, Tunku Abdul Rahman tidak ada pilihan ke­cuali mendesak British mengatur strategi tindak balas lebih berkesan terhadap pencerobohan Indonesia.

Justeru Tunku mengarahkan timbalannya, Tun Abdul Razak yang juga Menteri Pertahanan berangkat ke London untuk berunding dengan Perdana Menteri Bri­tish, Ha­rold Wilson pada awal September 1964.

Menurut Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Konfrontasi Indonesia (2000), dalam perjumpaan di London pada 16 September 1964, Ha­rold Wilson memberi jaminan kepada Tun Abdul Razak bahawa kerajaan British tetap bersama Malaysia menentang pencerobohan Indonesia.

“Katanya lagi, parti Buruh menyokong penubuhan Malaysia sejak sebagai pembangkang lagi. Bagaimanapun, beliau mengingatkan dalam mengekalkan sokongan politik terhadap tindakan Ma­lay­­­­sia, masalah tersebut harus dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seberapa segera yang mungkin jika keadaan bertambah buruk. Tun Abdul Razak bersetuju dengan langkah Wilson” (Nik Anuar Nik Mahmud 2000: 174).

Rampasan Kuasa

Namun begitu, ketika Malaysia sedang menghadapi ancaman Indonesia, pada 30 September pasukan tentera yang pro-Sukarno dengan sokongan kuat Parti Komunis Indonesia (PKI) cuba merampas kuasa dengan alasan melin­dungi Presiden Sukarno daripada ancaman Dewan Jeneral.

Jeneral Suharto yang disifatkan sebagai seorang yang anti komunis berjaya menum­paskan cubaan rampasan kuasa itu. Kemunculan Jeneral Suharto disambut baik oleh Malaysia dan Britain.

Perubahan itu berjaya meredakan tempo konfrontasi dan membuka ruang run­dingan bagi menamatkan konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Pada 11 Mac 1966, Mejar Jeneral Suharto dengan rasminya mengambil alih kuasa daripada Presiden Sukarno, diikuti penahanan Menteri Luar, Dr. Subandrio .

Pada 24 Mac, Kabinet baharu Indonesia telah dibentuk de­ngan pelantikan Dr. Adam Malik sebagai Menteri Luar barunya. Sejajar dengan peru­bahan itu, ke­pimpinan baru Indonesia mula menyusun langkah bagi menamatkan konfrontasi.

Pada 11 Ogos 1966, Perjanjian Damai berlangsung di Jakarta tepat pukul 11 pagi (waktu Indonesia) yang membawa kepada penamatan konfrontasi dan pemulihan hubungan dua hala antara Malaysia de­ngan Indonesia.

“Dengan itu tamatlah konfrontasi yang berlarutan selama 33 tahun tanpa tujuan dan habuan yang konkrit.

Era Baru

“Adam Malik menganggapnya sebagai ‘kemena­ngan untuk bangsa Melayu’ manakala Tun Abdul Razak pula menganggapnya sebagai ‘membuka era baru dalam hubungan bangsa serumpun’.

“Bagaimanapun orang yang paling gembira dengan penamatan peristiwa konfrontasi itu ialah Tunku Abdul Rahman, Bapa Malaysia.

Tunku menyahut pemulihan hubungan itu dengan mengucap kesyukuran kepada Allah Yang Maha Besar serta berharap akan mengeratkan kembali perhubungan kedua-dua buah negara yang berjiran demi kepentingan bersama dan kemakmuran seluruh Asia Tenggara” (Nik Anuar Nik Mahmud 2000: 244).