Penolong Ketua Penyun­ting Mingguan Malaysia, Raja Ahmad Niza yang melapor­kan mengenai pertemuan dengan bapa Suriyati, Jamaluddin Ahmad di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur, tidak menyangka setelah sebulan kisah anaknya mencuit perasaan orang ramai, derma yang diterima sudah meningkat sebanyak 75,000.

“Saya tak sangka derma boleh terkumpul sebanyak itu,” kata Jamaluddin Ahmad semasa membawa Suriyati ber­jumpa Ketua Pengarang Utusan Melayu, Mazlan Nordin.

“Saya ucapkan terima kasih pada para dermawan dan susah payah Utusan ke­rana anak saya. Hanya Tuhan sajalah yang dapat menilai simpati orang ramai.

“Mula-mula saya pijak tangga Utusan dulu, saya sudah memasang niat dan nazar dalam hati, kalau ada simpati ramai, kalau derma berlebihan saya tidak akan lupa pada anak-anak yang senasib de­ngan anak saya,” kata Jamaluddin kepada Mazlan Nordin.

Pada 21 Mei 1979, anak jantung berlubang, Suriyati Jamaluddin berlepas ke Manila dengan iringan air mata dan doa orang ramai yang menghantarnya ke lapangan terbang.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, ibu bapa Suriyati yang menemankan anak pe­rempuan mereka turut menangis tersedu-sedu apabila melihat orang ramai me­­n­yerbu dan mencium Suriyati seorang demi seorang.

Beratus-ratus orang termasuk keluarga, penduduk kampung kelahiran Suriyati, Sungai Pusu telah berada di lapangan terbang sejak awal pagi untuk mengucapkan selamat jalan.

Sebelum memasuki bilik berlepas, ibu Suriyati, Sarifah Kisut sempat menjenguk ke arah orang ramai sambil berkata: “Doakan anak saya selamat, terima kasih semua,” katanya diiring deraian air mata.

Suriyati meninggal sebelum dibedah

BAGAIMANAPUN, setelah 11 hari berada di Manila, malang­nya Suriyati meninggal dunia di Pusat Jantung Filipina pada 29 Mei 1979, sebelum sempat menjalani pembedahan.

Berita kematian Suriyati menjadi berita utama halaman satu Utusan Malaysia keluaran 31 Mei 1979. Rencana Pengarang Utusan Malaysia pada hari yang sama telah menegaskan bahawa kematian Suriyati menunjukkan betapa negara memerlukan sebuah pusat pembedahan jantung yang serba lengkap dengan alat-alat pembedahan serta pakar-pakar bedah.

Kes Suriyati hanyalah satu daripada banyak lagi kes serupa yang pernah dibantu oleh Utusan Melayu. Di samping usahanya untuk memberikan bantuan kepada anak-anak jantung berlubang, Utusan Melayu dengan kerjasama Dr. Nik Zainal telah melancarkan kempen menyedarkan kerajaan dan rakyat supaya menyegerakan penubuhan Unit Pembedahan Jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur dan juga penubuhan tabung jantung.

Dalam menjalankan kempen itu, Utusan telah men­yiarkan rencana bersiri yang ditulis oleh Penolong Ketua Penyunting Mingguan Malaysia, Raja Ahmad Niza mengenai masalah jantung di Malaysia berdasarkan interviu dengan Dr. Nik Zainal. Siri pertama rencana itu disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 1 Julai 1979, diikuti dengan siri kedua 8 Julai 1979 dan siri terakhir pada 15 Julai 1979.

Kempen Utusan Melayu itu tidak sahaja disajikan dengan berita tetapi disokong oleh rencana pengarang, pojok dan penulisan kisah sedih keluarga yang mempunyi anak jantung berlubang dan juga sajak-sajak.

Kempen itu akhirnya membangkitkan kesedaran meluas dalam kalangan masyarakat yang memberi tekanan kepada kerajaan bagi menyegerakan penubuhan unit jantung.

Pada tahun 1982, wujudlah Unit Pembedahan Jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur setelah diperjuangkan oleh Utusan Melayu sejak kematian Suriyati di Pusat Jantung Fi­lipina itu pada 29 Mei 1979.

Sejak itu tidak lagi kedengaran anak-anak malang seperti itu dihantar ke London, Manila dan Wellington bagi pembedahan jantung berlubang.

Jelaslah, jasa paling besar Utusan Melayu dalam misi kemanusiaan sejagat ialah apabila kes Suriyati telah mendorong kerajaan untuk menubuhkan segera Unit Jantung Negara di Hospital Besar Kuala Lumpur pada awal 1980-an.

Impak kes Suriyati ini akhirnya telah membawa kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN), khusus bagi tujuan rawatan dan pembedahan pesakit-pesakit yang berkaitan masalah jantung yang selama ini bergantung kepada pakar-pakar di luar negara.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan