Dengan iringan nada suara yang agak menggeletar, Ibrahim Fikri yang sudah dilantik oleh Lembaga Pengarah Utusan Melayu sebagai Pengurus Umum dan Ketua Pengarang Utusan Melayu berkata: “Encik Said, saya ini bukan seorang wartawan tetapi terpaksa menerima jawatan yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah”.

Dasar Empat Perkara yang diserahkan secara tangan kepada Said Zahari itu ialah:

Pertama: Memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah kerana itu akan lebih menguntungkan dari segi perniagaan.

Kedua: Me­nyiarkan berita-berita yang benar tetapi membatasi kepala-kepala be­rita kepada parti-parti lain.

Ketiga: Menyiarkan lebih banyak berita dengan kepala-kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Perikatan dimana ia dapat dilakukan, termasuk kenyataan-kenyataan dasar penting.

Keempat: Menyokong Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan dan mengkritik secara membina sesuatu keputusan yang buruk dibuat.

Said Zahari dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan: Kenapa dan Untuk Apa? Dalam buku Di sebalik Jendela Utusan Melayu (1989) sempena Ulang tahun Utusan Melayu Ke-50 (1939-1989) menyatakan, ‘Dasar Empat Perkara’ itu jelas bertentangan dengan aspirasi ‘Ikrar 1939’ dan berbau kongkongan ke atas kebebasan dan kebijaksanaan pengarang untuk memenuhi tugas-tugasnya dengan berkesan dan berfaedah kepada rak­yat dan negara.

“Dasar bebas de­ngan rasa tanggungjawab kepada bangsa dan tanah air dan kepada rakyat massa yang diwarisi sejak 1939 dan disesuaikan dengan perkembangan serta perubahan-perubahan yang berlaku seterusnya mesti dipertahankan.

“Oleh itu maka pekerja Utusan Me­layu dengan tegasnya telah menolak ‘Dasar Empat Perkara’ yang diajukan oleh Lembaga Pengarah dalam tahun 1959” (Said Zahari 1989: 34-35).

Menurut Said Zahari, Dasar Empat Perkara yang dibawa oleh Ibrahim Fikri itu jelas mahu menafikan pendirian dan kemahuan Utusan Melayu yang berpegang teguh kepada Ikrar 1939 ketika ‘Suara Keramat’ bangsa itu diasaskan oleh Yusof Ishak di Queen Street, Singapura.

Bagi Said Zahari, demi ‘Ikrar 1939’ dan demi kepen­tingan dan ke­sejahteraan rakyat yang baru mencapai kemerdekaannya, Utusan Me­layu tidak mungkin melencong daripada landasan perjuangan asal dan tanggungjawab­nya.

“Ibrahim Fikri datang ke pejabat saya pagi itu ialah untuk mengisytiharkan ‘perang’ secara rasmi. Ibrahim Fikri telah melemparkan cabaran kepada pekerja-pekerja Utusan Melayu yang memegang amanah dan ‘Ikrar 1939’.

“Cabaran Ibrahim Fikri yang juga merupakan cabaran dari beberapa kerat individu dalam UMNO dan kerajaan Perikatan serta kuasa-kuasa penjajah yang berdiri di belakang mereka telah di­sambut dengan beraninya oleh pekerja Utusan Melayu demi kepen­tingan kebebasan persuratkhabaran dan demi kepen­tingan dan kesejahteraan rak­yat seluruhnya” (Said Zahari 1989: 35).

Menurut Said Zahari, Ibrahim Fikri bukannya dipaksa atau terpaksa tetapi ‘ditunjuk’ berdiri di barisan depan untuk memerangi pekerja Utusan Melayu.

Said Zahari menjelaskan di belakang Ibrahim Fikri bukannya Lembaga Pengarah atau majikan Utusan Melayu tetapi kerajaan Perikatan yang diketuai oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan di belakang Tunku berdiri pula kuasa-kuasa penjajah dan golongan reaksioner yang mempunyai tujuan-tujuan tersendiri.

“Tun Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri menyatakan kepada penasihat undang-undang saya: Beritahu Said Zahari, jangan fikir dia boleh melawan kerajaan Perikatan!” (Said Zahari 1989).

Krisis dengan Kerajaan Perikatan memuncak apabila Said Zahari mengetuai mogok bersama seramai 115 orang kakitangan akhbar, termasuk anggota Jabatan Pengarang menentang campur tangan politik di Utusan Melayu pada 20 Julai 1961.

Seramai 30 orang yang bekerja di Si­ngapura turut menyertai mogok tersebut. Akibat mogok tersebut, akhbar Utusan Melayu tidak diterbitkan pada 22 Julai 1961.

Hari-hari berikutnya, akhbar Utusan Melayu tetap menemui pasarannya pada 23 Julai. Selepas tarikh itu akhbar Utusan Melayu telah diterbitkan di luar bangunannya di Jalan Chan Sow Lin oleh para pekerja yang enggan menyertai mogok.

“Empat puluh satu hari setelah mogok berlangsung, semasa saya sedang mengunjungi pemogok-pemogok yang berpiket di hadapan Pejabat Utusan Melayu di Singapura, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) telah mengeluarkan surat perintah status ‘persona non grata’ (mereka yang tidak dihargai) dan mengharamkan saya menjejak bumi Malaya buat selama-lamanya” (Said Zahari 1989).

Said Zahari membuat ke­simpulan Mogok Utusan Melayu tahun 1961 tercatat dalam tinta sejarah untuk dinilai dan hakimi oleh rak­yat dan generasi akan datang.

ESOK: Mengapa UMNO menguasai Utusan Melayu?