Mereka berkumpul untuk membincangkan penerbitan akhbar Melayu. Perbincangan berlangsung selama tiga jam. Keputusan mesyuarat itu sebulat suara memberi sepenuhnya kepercayaan kepada Yusof Ishak, 27 tahun untuk berusaha menubuhkan sebuah syarikat akhbar. Keputusan itu dibuat memandangkan Yusof  per­nah bekerja  dalam akhbar Warta Malaya selama tujuh tahun. Warta Malaya adalah akhbar Melayu tetapi tidak dimiliki  oleh orang Melayu.

Namun, Yusof  meminta tempoh dua hari untuk membuat kajian dan mencari jalan bagaimana rancangan itu boleh dilaksanakan. Beliau merasakan soal wang tidaklah begitu sulit, berbanding mencari seorang pengarang bagi mengetuai akhbar itu. Pada masa itu,  Abdul Rahim Kajai yang bekerja dengan  Warta Malaya dianggap paling hebat di zamannya. Yusof berjumpa  Kajai secara sulit bagi mengajaknya mengetuai akhbar Utusan Melayu sebagai pengarang. Abdul Rahim bersetuju. Abdul Rahim bekerja dengan Warta Malaya sejak tahun 1935. 

Utusan Melayu ditubuhkan

Pada 18 Jun 1938, maka ditubuhkanlah syarikat Utusan Melayu Press Li­mited bagi tujuan menerbitkan akhbar Utusan Me­layu. Semua pengasas syarikat ini menyumbang wang modal  yang ke­semuanya berjum­lah 2,000 ringgit Malaya. Bagi mencukup­kan pelaburan, Yusof bekerja keras menjual saham Utusan Melayu. Untuk itu, dalam masa tiga bulan beliau telah mengunjungi 32 kampung di Singapura dan berceramah kepada kira-kira 5,000 orang Melayu. Sebanyak 400 orang telah membeli saham.  Namun ia masih  kekurangan kira-kira S$8,000 untuk mencukupkan modal sebanyak S$12,500 yang dibayar. Yusof pula  hanya mempunyai masa selama tiga hari lagi untuk mendapatkan modal.  Jika gagal,  pendaftaran syarikat Utusan Melayu akan dibatalkan oleh kerajaan.

Modal S$12,500 berjaya dikumpul

Dalam keadaan terdesak itu,  Daud Mohd. Shah dan Ambo’ Sooloh de­ngan segala susah payah berikhtiar dan berjaya mendapatkan  $8,500. - “Kerana kenangkan awak, Yusof” kata mereka berdua. Akhir­nya modal S$12,500 berjaya dikumpul dengan ahli pemegang sahamnya seramai 542 orang.

Mereka yang dipilih menjadi pe­ngarah bersekutu syarikat Utusan Melayu ialah Daud Mohd. Shah, Ambo’ Sooloh  Omar, Abdul Hamid Moha­mad, Tengku Abdul Kadir Mohamad, Ismail Mohd. Taib, Embok Abdul Ghani Omar, Abdul Jalil Harun (Endut) dan Yusof Ishak.

Pada Februari 1939, beberapa jentera cetak yang telah dipesan dari England telah sampai dan ditempatkan di premis  64,  Queen Street, Singapura. Sidang pengarang Utusan Melayu dikukuhkan lagi apabila pada bulan April,  Ishak Haji Mohamad yang dikenali sebagai Pak Sako dan Zainal Abidin Alias (ZABHA) meninggalkan akhbar Warta Malaya untuk me­nyertai Utusan Melayu. Kedua-dua mereka ini dianggap orang kuat kepada  Abdul  Rahim Kajai.

Lebih ramai lagi pekerja Warta Malaya yang turut menyertai Utusan Melayu. Antaranya ia­lah  20 orang pengatur huruf seperti Mohamad Samawi, Arshad, Baharuddin dan Latif serta tukang lipat kertas se­perti Halil Ghazali. 

Naskhah sulung Utusan Melayu berjaya diterbitkan

Maka pada 29 Mei 1939 keluaran sulung akhbar  Utusan Melayu  diterbitkan dengan harga 10 sen senaskhah. Pada hari ber­kenaan, Kadi Besar Singapura, Abas Taha membaca doa selamat. Sebanyak 1,000 naskhah telah dicetak selama sebulan.  Kemudian jumlah cetakan dikurangkan kepada 700 naskhah dan kemu­dian turun kepada 600  sahaja.

Pak Sako dilantik sebagai Pengarang Utusan Me­layu yang pertama kerana Abdul Rahim Kajai masih ragu-ragu untuk menyertai Utusan. Tulisannya bertajuk ”Dari Warta Malaya ke Utusan Melayu” di­siarkan dalam keluaran sulung akhbar itu. Yusof Ishak dilantik sebagai Ketua Pengarang dan Pengurus Syarikat. Perjuangan Utusan bersendikan tiga paksi utama iaitu ‘alif’, ‘ba’, ‘ta’ (agama, bangsa dan  watan (tanah air).

Sesuatu bangsa itu, kata Utusan Melayu adalah seperti sebuah bahtera yang sedang belayar di tengah-tengah lautan yang besar. Bahtera itu akan selamat dalam pelayarannya, kalau sekiranya dapat beker­jasama antara Raja, Kerajaan, Jurutera dan juga segala kuli atau kelasi yang ada dalam bahtera itu.

Kalau sekiranya kuli dalam bahtera itu tidak mahu menjalankan kerja mereka, sudah tentu bahtera itu tidak dapat belayar dengan sempurna. Begitu juga kata Utusan Melayu, bangsa Melayu tidak akan hidup subur kalau sekiranya tidak terdapat kuli Melayu dalam masyarakat Me­layu.

Utusan  Melayu merasa sangat bimbang akan kedudukan orang Melayu, terutama di bandar Singapura, kerana kehidupan bangsa Melayu amatlah mundur jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa pendatang. Menerusi makalah terbitan 2 Jun 1939 bertajuk “Jalan-jalan membaiki kehidupan bangsa Melayu”, Utusan Melayu menggesa masyarakat Melayu berusaha bersungguh-sungguh memajukan taraf ekonomi mereka supaya setanding dengan bangsa-bangsa  pendatang terutama orang Cina dan India.

Utusan Melayu juga menggesa supaya orang Melayu yang berkemam­puan menolong orang Melayu yang tidak berupaya kalau tidak dengan bantuan modal, memadai dengan memberikan galakan; dengan itu sudah tentu makin ramai orang Melayu akan berjaya.

Utusan Zaman diterbitkan

Pada 5 November 1939, edisi Ahad Utusan Melayu yang bernama Utusan Zaman  diterbitkan. Akhbar ini adalah untuk bacaan orang Indonesia yang berada di Singapura. Merekalah yang meminta supaya Utusan Melayu menerbitkan  akhbar bertulisan rumi dengan nama Utusan Zaman.

Namun orang Melayu di Malaya belum lagi dapat menerima huruf rumi, maka akhirnya akhbar Utusan Zaman menjadi akhbar mingguan huruf jawi. Bulan berikutnya, Abdul Rahim Kajai mula berkhidmat di Utusan Melayu sebagai Pengarang.

Jualan surat khabar ketika itu cuma sekitar 700 naskhah sehari. Namun begitu, pada awal tahun 1941, jualan akhbar meningkat kepada 1,800 sehari. Peningkatan ini dipercayai kerana sikap Utusan Melayu yang mendokong perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Juga pada tahun yang sama, seorang aktivis nasionalisme Abdul Samad Ismail me­nyertai Utusan Melayu.

Syarikat Utusan Melayu memasuki bidang penerbitan majalah apabila pada  1 Jun 1941, majalah bulanan Mastika dilancarkan.

Pada 8 Disember 1941, Singapura mula dibom Jepun. Serangan terus meningkat hinggalah pada 13 Februari 1942,  hanya sembilan orang berada di pejabat Utusan Melayu  iaitu Ramli, ZABHA, A.Samad Ismail, Tengku Hassan, Haji Yusof, Wak Ahmad Semawi, Arshad, Nasir dan Yusof Ishak.

Akhbar Utusan Melayu hanya dicetak sebanyak 50 naskhah dan diedar sendiri oleh pekerja kerana semua kedai telah tutup.

Abdul Rahim Kajai telah dibawa balik oleh Jepun ke Singapura bagi menjalankan akhbar Berita Malai. Setelah Jepun menyerah kalah dan pada 5 September 1945 tentera British mendarat di Singapura.

Lima hari kemudian, Ramli Haji Tahir bersama Haji Yusof, Zainal Abidin Haji Alias (ZABHA) dan beberapa orang berusaha untuk menerbitkan semula akhbar Utusan Melayu. Ia dicetak di Straits Times Singapura.

Yusof Ishak pulihkan Utusan

Pada 17 September 1945, Yusof Ishak kembali ke Singapura untuk mengurus semula syarikat Utusan Melayu. Menurutnya “Tak ada alat-alat jentera, tak ada kertas, tak ada pejabat sendiri dan tak ada wang. Itulah soal yang kami hadapi. Saya pun berjumpa dengan direktor-direktor meminta bantuan tetapi tidak seorang pun daripada mereka yang mempunyai wang British”.

Beberapa orang sahabat meminjamkan Yusof Ishak sebanyak 3,000 ringgit untuk memulihkan syarikat Utusan Melayu.

Pada waktu yang sama Yusof Ishak berjaya mengambil kembali segala alat perkakas dan jentera cetak akhbar Utusan Melayu yang dirampas oleh Jepun untuk mencetak Berita Malai dari pejabat asal di 64, Queen Street.

Syarikat Utusan Melayu kemu­diannya berpindah ke premis 185, Cecil Street. Ia merupakan bekas pejabat akhbar Warta Melaya sebelum perang dahulu. Bangunan itu merupakan sebuah rumah kedai tiga tingkat. Akhbar Utusan Melayu diterbitkan di situ mulai 1 November 1945.

Pada masa itu, terdapat 30 orang kakitangan syarikat Utusan Melayu. Terdapat hanya dua mesin cetak yang mampu menghasilkan 1,000 naskah sejam. Akhbar Utusan Melayu  waktu itu hanya mempunyai empat muka surat dan dicetak 2,000 naskhah sahaja. Ketika itu Utusan Melayu hanya diedarkan sebahagian besarnya di Singapura dan Selatan Tanah Melayu.

Tidak lama kemudian, Utusan Me­layu diterbitkan di sebelah pagi. Jumlah jualannya meningkat kepada 7,000 naskhah sehari.