Perdana Menteri Tun Abdul Razak semasa berucap di majlis Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Dewan Canselor Universiti Malaya pada 16 Ogos 1971 menyatakan, berikutan peristiwa 13 Mei 1969, ia memberi kesempatan yang baik kepada pemimpin negara mengkaji keadaan masyarakat dan negara sedalam-dalamnya bagi memikirkan serta menimbangkan dengan teliti arah dan haluan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini.

“Kita berbangga kerana da­ripada pemikiran dan pertimbangan inilah lahirnya Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip utama sebagai falsafah negara kita bagi panduan dan amalan setiap rakyat yang cinta pada tanah airnya.

“Untuk pertama kalinya dalam sejarah Malaysia yang masih muda ini, kita berjaya menghasilkan garis panduan bagi membentuk masyarakat yang aman damai dan bersatu padu. Rukun Negara ini adalah ciptaan kita sendiri hasil daripada daya pemikiran bijak pandai kita sesuai dengan persekitaran dan iklim Malaysia.

“Dengan berpandukan ke­dua-dua, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, saya percaya sepenuhnya jalan yang kita lalui dan yang akan ditempuhi oleh generasi akan datang tetap membawa kepada mercu kebahagiaan yang dicita-cita itu” (Ucapan Tun Abdul Razak 16 Ogos 1971).

Menurut Utusan Me­layu, Rukun Negara diumumkan oleh Tun Abdul Razak sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran) kepada rakyat buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1969, kira-kira empat bulan selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Ghazali Shafie merangkap Menteri Penerangan diberi tanggungjawab membantu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak menggubal lima prinsip Rukun Negara yang mengandungi falsafah sejagat yang dapat diterima oleh semua kaum di negara ini.

Ghazali Shafie dalam buku Rukun Negara: A Testament of Hope (1985) menyatakan, selepas tenaga pengikat lamanya iaitu merdeka sudah hilang hikmatnya, maka negara kita memerlukan satu tenaga pengikat baru yang boleh melewati batasan perkauman yang menyeluruh serta yang boleh mendatangkan kepuasan kepada semua kaum, baik Cina atau Melayu, baik kapitalis atau buruh, Islam atau Hindu, tua atau muda.

“Rakyat Malaysia berazam hendak mewujudkan perpaduan yang lebih erat dan mengekalkan satu cara hidup yang demokratik. Kita bertekad untuk membina satu masyarakat yang adil, yang saksama, liberal dan demokratik, dalam mana kekayaan dan kemakmuran negara dapat sama-sama kita rasai dan sama-sama dinikmati oleh semua pihak.

“Maka dari kepercayaan dan keazaman inilah lahir Rukun Negara yang menjadi panduan dan pegangan negara yang akan menyatupadukan rakyat jelata dalam menghadapi segala tugas di hadapan kita. Rukun Negara akan menjadi landasan yang akan menentukan bagaimana rakyat boleh berdialog antara satu sama lain dalam usaha mencari persamaan dan perimbangan yang kini menjadi idaman dan hasrat rakyat” (Ghazali Shafie 1985).

Chamil Wariya dalam buku Malaysia Asas Pembinaan Negara Bangsa, Institusi Pemerintahan dan Lambang Kebangsaan (2010) menyatakan, Rukun Negara sebenar-nya merupakan penegasan semula prinsip-prinsip yang terkan­dung dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui bersama sewaktu negara mencapai kemerdekaan yang terang-terangan mencerminkan cara hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Chamil menegaskan, selepas kerajaan menganalisis apa yang berlaku semasa Tragedi 13 Mei 1969 secara kritikal, kepimpinan politik negara merumuskan bahawa pergaduhan kaum itu berlaku kerana terdapat ketidakseimbangan yang ‘menjolok mata’ wujud pada sistem ekonomi dan sosial negara yang baru merdeka.

“Menurut kerajaan, rakyat perlu diberi semangat baru, kesedaran baru serta matlamat baru. Dalam konteks itulah Rukun Negara telah dicipta dengan matlamat untuk membentuk satu masyarakat dalam mana setiap rakyat tanpa me­ngira asal keturunannya, agama serta ideologi politiknya, sama-sama berhak dan sama-sama mempunyai tempat untuk mencuba kebolehan dan bakatnya.

“Matlamat akhirnya untuk membentuk satu masyarakat yang adil serta saksama dari segi sosial dan ekonomi, masyarakat yang tiada mengenal kemiskinan. Masyarakat baru itu akan diorientasikan kepada kehendak zaman moden, kepada kehendak sains dan teknologi” (Chamil Wariya 2010: 315).