Mohd. Safar Hasim dalam buku Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806 (1996) menyatakan, pada hakikatnya pengambilalihan syarikat akhbar Utusan Melayu oleh ahli-ahli dan kumpulan yang rapat dengan UMNO dalam tahun 1961 merupakan usaha satu kuasa untuk menguasai satu kuasa lain; iaitu kuasa politik (yang sudah menjadi kuasa kerajaan), menguasai kuasa akhbar.

Menurut Mohd. Safar lagi, tujuan UMNO mengambil alih Utusan Melayu ialah supaya akhbar berpengaruh itu lebih memihak kepadanya manakala para pekerja Utusan Melayu pula dikatakan mahu mempertahankan kebebasan akhbar itu daripada kawalan politik.

Kuasa politik yang ada pada UMNO diperkukuhkan lagi oleh kuasa ekonomi iaitu pihak yang mengambil alih Utusan Melayu merupakan pemegang-pemegang saham minoriti.

“Dua dasar bertembung dalam kejadian ini iaitu ‘dasar asal’ dan ‘dasar baharu’. Dasar asal Utusan Melayu ialah berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air yang dinyatakan dalam keluaran sulung akhbar itu pada 29 Mei 1939 sambil berikrar: Dengan sendi yang tiga itulah akhbar Utusan Melayu itu berdiri dan atas itulah jua akhbar Utusan Melayu hidupnya dan menyabung nyawa”.

“Dasar lama ini bertembung dengan empat dasar baharu yang memberi sokongan penuh kepada parti yang memerintah yang cuba dikuatkuasakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Editor yang baharu iaitu Ibrahim Fikri Mohamed” (Mohd. Safar Hasim 1996: 248).

Dr. Chamil Wariya dalam tulisannya bertajuk Dua Perspektif Mogok Utusan dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Melayu (1989) melihat punca mogok daripada dua aspek iaitu perspektif pertama ‘Kebebasan Melawan Kawalan’ dan perspektif ke­dua, ‘Pertembungan Ideologi’.

Menurut Chamil, mereka yang melihat mogok Utusan Melayu dari perspektif pertama berhujah bahawa apabila Utusan Melayu mengambil pendirian yang lantang terhadap kepimpinan Tunku Abdul Rahman ia sebenarnya tidak melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Utusan cuma meneruskan tradisi dan dasar pembe­ritaan yang diwarisi sejak ia ditubuhkan pada tahun 1939 sebagai sebuah akhbar yang berkhidmat untuk bangsa, agama dan tanah air dengan cara yang bebas.

“Setelah negara merdeka, para wartawan Utusan mendapati bahawa UMNO tidak perlu diberi layanan istimewa kerana ia cuma mewakili satu bahagian orang Melayu” (Chamil Wariya 1989: 46).

Chamil berkata, kerana ingin mempertahankan kebebasan yang dimiliki, para wartawan sanggup mengambil tindakan yang ekstrem dengan melancarkan mogok.

“Sebenarnya ramai orang termasuk bekas wartawan Utusan yang telah menyertai mogok itu melihat Mogok 1961 dalam konteks mempertahankan kebebasan akhbar daripada kawalan oleh kelompok pemimpin politik. Kebenaran perspektif ini memang sukar untuk dipertikaikan...” (Chamil Wariya 1989: 47).

Malah Chamil juga melihat ada segolongan lagi yang melihat mogok Utusan 1961 sebagai satu pertembungan ideologi politik antara ‘puak kiri’ yang mereka dakwa sudah menguasai Utusan Me­layu dengan ‘puak kanan’ yang cuba mengambil alih penguasaan di Utusan Melayu.

Golongan ini melihat dengan ketiadaan Yusof Ishak, Utusan Melayu secara efektif berada dalam genggaman orang-orang yang bersimpati dengan perjuangan sosialis.

“Selepas mogok berakhir, Utusan Melayu berada dalam kawalan efektif UMNO dan kejayaan menggagalkan mogok dilihat sebagai kejayaan mengenepikan golongan kiri daripada menguasai Utusan Me­layu.

“Kerana adanya unsur kiri dan kanan dalam mogok di Utusan itu, maka ia juga turut dilihat sebagai satu pertembungan ideologi politik. Mereka yang terlibat dengan mogok di Utusan bagaimanapun menafikan pandangan itu. Mereka tetap berpegang pada pendirian bahawa mogok yang berlaku di Utusan itu tidak lebih dari pemogokan yang bertujuan untuk mempertahankan kebebasan akhbar yang ingin dikawal oleh elit-elit yang memerintah” (Chamil Wariya 1989).

Thomas Jefferson seorang ahli falsafah dan negarawan terkenal pernah menyatakan, bagi individu yang matang akhbar merupakan satu sumber maklumat dan panduan yang maha penting.

“Untuk menjalankan fung­sinya secara sempurna dalam negara demokrasi, akhbar haruslah bebas daripada ka­walan negara” tegas Jefferson (dipetik daripada buku Four Theories of the Press (1956) oleh Fred S. Siebert, halaman 47).

Jefferson merumuskan bahawa fungsi utama sesebuah kerajaan ialah untuk mewujudkan dan mengekalkan satu rangka yang menggaris lingkungan yang mana individu boleh mencapai cita-citanya sendiri. Fungsi akhbar pula adalah untuk mendidik individu dan dalam masa yang sama mengawasi supaya kerajaan tidak menyeleweng dari tujuan asalnya.

Esok: Sajak Duri dan Api tiup semangat pemogok

Sumber: Pusat Maklumat Utusan