Namun begitu tidak ramai yang tahu bahawa wartawan dan kakitangan Utusan Melayu itu sendiri bukanlah ahli UMNO atau penyokong UMNO sepenuhnya.

Menurut Hashim Hassan dalam tulisannya Peranan Akhbar Utusan Melayu diterbitkan dalam buku 25 Tahun Merdeka yang diselenggarakan oleh Tan Sri Abdul Samad Idris (1982), syarikat Utusan Melayu itu sendiri tidaklah dikendalikan sepenuhnya oleh ahli-ahli atau penyokong UMNO.

Misalnya, Yusof Ishak bukan ahli UMNO walaupun adiknya Aziz Ishak seorang anggota UMNO yang pernah menjadi menteri dalam Kerajaan Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Seorang lagi adik Yusof, Rahim Ishak adalah seorang ahli PAP di Singapura dan pernah menjadi menteri dan Duta Besar republik itu. Begitu juga dengan Othman Wok, Tajuddin Kahar, Subky Latif, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) dan lain-lain yang pernah ber­khidmat dengan Utusan Melayu bukan menjadi ahli UMNO.

Yusof Ishak berpendapat sesebuah akhbar yang dikuasai oleh satu-satu kumpulan tidak lagi merupakan akhbar tetapi alat dakyah kumpulan itu.

Menurut Hashim, dengan berpegang teguh kepada dasar tersebut, Utusan Melayu tidak takut dan tidak gentar menegur kerajaan British, mengkritik dan menyokong UMNO atau pun mengkritik dan menyokong parti-parti lain se­perti Parti Kebangsaan Me­layu.

“Sikap tidak takut dan tidak gentar, pendirian yang bebas dan merdeka ini telah menimbulkan sangkaan di sesetengah pihak di waktu itu bahawa Utusan Melayu adalah akhbar yang condong ke kiri.

“Sebenarnya Utusan Me­layu tidak condong ke kiri atau senget ke kanan. Ia hanya menyuarakan hasrat rakyat jelata yang daif. Utusan hanya mahu mengemakan suara rakyat yang mahukan kemerdekaan bagi tanah airnya” (Hashim Hassan 1982: 430).

Kaitan antara UMNO dan Utusan Melayu pernah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965. Tunku pernah berkata: “Sebenarnya kalau UMNO tidak dapat dipisahkan dari perjuangan dan kebangkitan orang Melayu maka Utusan Melayu juga tidak dapat diketepikan kerana dari hasil yang dikemukakan oleh Utusan inilah maka tertubuhnya pertubuhan UMNO yang besar itu. Kalau UMNO merupakan pertubuhan politik orang Melayu yang terbesar maka Utusan merupakan lidah orang Me­layu.”

Tunku seterusnya me­nerangkan bahawa ada juga orang yang masih terkeliru dengan Utusan Melayu.

“Mereka fikir Utusan Me­layu adalah lidah rasmi UMNO.Yang sebenarnya, ujar Tunku, Utusan Melayu ialah lidah orang Melayu dan UMNO pula adalah pertubuhan rasmi orang Melayu. Perbezaan inilah yang tidak ternampak oleh mereka” (Hashim Hassan 1982: 432).

Malah, Tun Razak sendiri menekankan kenyataan yang sama ketika merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu pada 22 Jun 1972. Kata Tun Razak, Utusan Melayu masih tetap memegang peranan sebagai lidah umat Me­layu.

Hashim menekankan bahawa tiada seorang pun daripada bangsa Melayu yang mahu melihat syarikat Utusan Me­layu menjadi lemah apatah lagi tutup langsung.

Sebaliknya orang Melayu sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan dasar Utusan Melayu atau lidah pengarang Utusan Melayu, Utusan Malaysia atau penerbitan Utusan yang lain tetap mahu melihat syarikat Utusan maju dan jaya sebagai sebuah syarikat perniagaan.

Malah Tun Razak pada 22 Jun 1972 pernah berkata bahawa sepanjang ingatannya belum pernah lagi dalam sejarah persuratkhabaran Melayu sebuah akhbar Melayu hidup begitu lama.

“Orang Melayu sendiri mahu melihat Utusan Melayu, Utusan Malaysia dan penerbitan-penerbitan yang lain terus menjadi penyambung lidah bangsa Melayu.

“Orang Melayu sedar bahawa lidah pengarang Utusan Melayu, Utusan Zaman, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia adalah mencerminkan fikiran masa kini sejumlah besar rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu” (Hashim Hassan 1982: 432).

Utusan hanya mahu mengemakan suara rakyat yang mahukan kemerdekaan bagi tanah airnya.

Iklan bertajuk “Buku2 politik baru sampai”yang diterbitkan oleh Utusan Melayu 1947. Iklan itu menyatakan: “Pesanlah kepada: Malaya Publishing House”

Iklan “Tiger Balm” dalam Utusan Melayu pada 
tahun 1947.

Iklan itu berbunyi: “Tiger Balm yang sangat berguna disimpan di dalam rumah untuk berbagai-bagai penyakit.