Wartawan Utusan, Usman Awang yang juga Sasterawan Negara mengabadikan perjalanan akhbar ini dalam puisi Duri dan Api.  Kata beliau dalam puisi yang ditulis semasa mogok menentang kemasukan UMNO dalam Utusan pada 1961: “Kawan-kawanku yang dikasihi, di belakang duri di depan api, kita tidak bisa undur lagi, duri dan api, tajam panasnya kita hadapi”.

Bermula di Queen Street dan kemudian ke Cecil Street, Singapura dengan semangat menerbitkan akhbar yang dicetak, diterbit dan dikarang oleh orang Melayu, akhbar ini  sarat dengan kisah perjuangan dan pengorbanan. Dari Queen Street ke Kuala Lumpur pada 1958 sehingga sekarang di Jalan Utusan, perjuangan dan pengorbanan itu terus mengitari perjalanannya. 

Utusan Melayu pernah melalui pengalaman getir apabila terhenti penerbitannya semasa pendudukan Jepun pada 1942. Utusan Melayu digabungkan dengan Warta Malaya menjadi Berita Malai yang dikendalikan oleh Jabatan Propaganda Jepun. Utusan Melayu juga tidak diterbitkan semasa mogok pada 22 Julai 1961 dan kemudiannya terpaksa dicetak di luar pejabat Utusan.

Dalam perjalanan itu, tanpa dapat dimungkiri teras perjuangan Utusan Melayu ialah membela dan mempertahankan kedudukan orang Melayu. Api yang dinyalakan puluhan tahun itu tidak pernah padam.

Melihat senario sekarang, barangkali ada benarnya seperti dinyatakan oleh pengasas Utusan, Yusof Ishak bahawa ‘Orang Melayu akan jaya dalam dunia ini hanya sekiranya Utusan Melayu berjaya di dalam perjuangannya,’

Sempena ulang tahun ke-80 akhbar ini pada 29 Mei 2019, mulai hari ini Utusan akan memaparkan semula kisah-kisah itu - sejarah Utusan, Utusan terlibat dalam sejarah dan Utusan merakam sejarah dan peristiwa penting negara. Semoga ia bermanfaat untuk agama, bangsa dan tanah air ini.

Pengarang