Ketika sedang menikmati makan tengah hari itu tiba-tiba beliau dikejutkan oleh beberapa orang wanita Cina yang bertempiaran lari menerusi satu lorong dari arah belakang kedai itu.

Wanita Cina tadi membawa bersama bungkusan-bungkusan kain baju, tikar, bantal dan pelbagai peralatan penting seolah-olah sedang menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat digambarkan pada wajah mereka.

Beberapa orang yang sedang berada berhampiran tempat Zainuddin sedang makan bertanya: “ Apa pasal? Apa pasal?”.

Wanita-wanita Cina yang sedang berlari-lari anak itu berteriak: “Hujan tatak ayer mali, hujan tatak ayer mali!” (Hujan tak ada, air datang! Hujan tak ada, air datang!).

Tiada sesiapa­pun yang menduga, hatta Zainuddin sendiri yang sedang makan tengah hari di situ menyedari bahawa suatu bencana besar sedang berlaku di kawasan Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Lima.

Setelah selesai makan, Zainuddin pun berjalan untuk pulang ke pejabat tetapi apabila sampai di simpang Jalan Lima (jalan masuk ke Utusan Melayu) kelihatan arus air yang sangat deras sedang melanda kawasan itu.

Tiada sesiapa pun yang mengetahui dari mana datangnya banjir kilat ini yang dalam sekelip mata melanda kawasan seluas antara 9.6 kilometer (km) hingga 11.2 km per segi dari Batu 3 Jalan Cheras membawa ke kawasan lapangan terbang lama (bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia) melintasi Jalan Sungai Besi sehingga ke Salak Selatan.

Jalan Lima menuju ke Pe­jabat Utusan Melayu dinaiki air 1.5 meter dalam tempoh tidak sampai 15 minit. Menurut buku Pertama dan Terakhir (1980) oleh Zainuddin Maidin, kira-kira pukul 8 malam, banjir mulai surut dan para pemberita diarahkan segera mengumpul bahan-bahan berita sekitar malapetaka banjir yang baru berlaku itu.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Mazlan Nordin; Ketua Penyunting, Osman Abadi dan Pengarah Urusan, H. M. Shah serta ketua-ketua bahagian kilang dan pengedaran yang mengadakan me­syuarat tergempar memutuskan bahawa akhbar Utusan mesti diterbitkan.

“Pejabat Utusan Mela­yu penuh dengan lumpur, mesin rosak, sese­tengah akhbar lama yang disimpan dibawa arus air tetapi esoknya akhbar Utusan keluar seperti biasa, cuma mukanya dikurangkan kepada empat muka sahaja. Percetakan dibuat di akhbar Malayan Times.

“Lead muka satu ialah ‘Peristiwa paling buruk dalam sejarah Ibu Kota Persekutuan Malaysia’, banyak jiwa melayang, beribu-ribu kehilangan rumah tangga, kilang perce­takan Utusan Melayu karam. Empang Lombong Pecah” (Zainuddin Maidin 1980: 74).

Menurut Zainuddin, susulan tragedi empang lombong yang pecah itu, Sultan Selangor telah berke­nan melawat Pejabat Utusan Melayu dan diikuti dengan kunjungan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang memuji pekerja-pekerja Utusan kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk berkhidmat kepada orang ramai.

“Bila kederasan air ber­kurangan dan mulai surut, Jalan Lima menjadi tempat pesta menangkap ikan tongsan. Di sebalik pesta ini sebenarnya ialah satu malapetaka yang paling buruk dalam sejarah ibu kota.

“Lebih 2,000 keluarga menjadi mangsa banjir kilat ini dengan kehilangan rumah tangga dan sebagainya. Menurut angka-angka tidak rasmi lebih 20 orang terbunuh. Ramai pekerja Utusan Melayu sendiri yang menyelamatkan keluarga-keluarga Cina berhampiran dari dihanyutkan oleh air.

“Seorang pekerja Utusan Melayu di bahagian kilang, Ahmad Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan nama ‘Mat Arab’ telah dapat menyelamatkan seorang kanak-kanak Cina dari mati lemas walaupun dirinya sendiri hampir tenggelam dihanyutkan arus” (Zainuddin Maidin 1980: 73).

Zainuddin menyatakan, Pengurus Utusan Melayu ketika itu Tengku Hassan Abdul Mutalib yang kebetulan tidak keluar makan telah cuba menghubungi polis dan bomba tetapi malangnya semua perhubungan telah terputus.

“Di tengah-tengah keadaan kelam kabut dengan pejabat Utusan Melayu dan mesin cetaknya ditenggelami air, dengan keadaan semua perhubungan telah terputus, dengan keadaan seluruh jentera pengeluaran akhbar telah lumpuh, perkara utama yang difikirkan oleh kakitangan Utusan Melayu dari bahagian kilang, pengarang, pengedaran sehinggalah kepada pengurusan ialah bagaimanakah akhbar akan diterbitkan esok.

“Demikianlah tradisi yang telah berlaku di dalam Utusan dari sejak kelahirannya (di Queen Street dan Cecil Street, Singapura). Dalam keadaan apa pun Utusan mesti berada di pasaran. Ini adalah undang-undang yang tidak bertulis” (Zainuddin Maidin 1980).