Tun Abdul Razak menyatakan bahawa penubuhan UKM adalah kemuncak ke arah memenuhi aspirasi rakyat yang mahu melihat Bahasa Melayu mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam menentukan keperibadian bangsa.

Malah, Utusan Melayu turut berjuang bersama-sama pejuang bahasa dan tokoh-tokoh intelektual Melayu untuk memastikan penubuhan UKM benar-benar menepati aspirasi rakyat.

Menurut Utusan Malaysia pada 20 Mei 1970 , UKM telah ditubuhkan atas kesedaran rakyat yang mahu melihat Bahasa Melayu terus berkembang dalam negara kita sesuai dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Kelahiran universiti ini menunjukkan satu kejayaan besar dan penting yang tidak dinafikan oleh sesiapa pun dalam sejarah sistem pelajar kebangsaan di negara ini,” tulis wartawan Utusan Malaysia Nordin Mohamad.

Penubuhan UKM juga selaras dengan keyakinan para pejuang Bahasa Melayu yang berusaha keras menangkis segala tohmahan dan momokan mengenai kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Utusan Melayu turut mempertahankan dan meyakinkan semua pihak tentang kemam­puan dan kepentingan meletakkan Bahasa Melayu di menara gading agar kedaulatan bahasa ibunda ini akan terus dijaga dan dipertingkatkan.

Walaupun mendapat tentangan daripada beberapa golongan yang masih ragu-ragu terhadap kemampuan Bahasa Melayu, UKM terus memainkan peranannya, mem­perjuang dan mengendalikan kursus-kursus dalam Bahasa Melayu.

“Penubuhan universiti ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di peringkat pelajaran tinggi di negara ini” (Utusan Malaysia 20 Mei 1970) .

Utusan Malaysia melaporkan, cita-cita untuk menubuhkan sebuah universiti nasional mula dicetuskan dalam satu majlis perjumpaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Ogos 1958 yang dihadiri kira-kira 50 orang perwakilan dari semua lapisan pensyarah universiti, maktab-maktab perguruan sehinggalah mahasiswa.

Cita-cita yang tercetus itu telah menghasilkan satu usaha yang konkrit apabila berlangsungnya Kongres Universiti Kebangsaan bertempat di Dewan Kuliah Universiti Malaya pada 15 Mac 1969.

Menurut Utusan Malaysia, kongres yang berlangsung pada hari itu telah menjadi medan perbahasan antara pejuang-pejuang nasionalis bangsa Melayu mengenai konsep Universiti Kebangsaan.

“Hasil kongres itu yang merupakan ‘arkitek’ pelaksanaan Universiti Kebangsaan itulah wujudnya sebuah universiti yang diidam-idamkan untuk menjadi kemegahan negara dan rakyat negeri ini pada hari ini,” lapor Utusan Malaysia.

Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, kerajaan memberi jaminan bahawa taraf ijazahnya sama, setanding dengan ijazah yang dikeluarkan oleh universiti di dalam dan luar negara.

“Menteri Pelajaran Datuk Abdul Rahman Yaakob dan Naib Canselor universiti itu sendiri telah memberi jaminan tentang taraf universiti tersebut.

“Encik Mohd. Khir Johari sendiri semasa menjadi Menteri Pelajaran dahulu menegaskan bahawa Universiti Kebangsaan bukanlah universiti kelas dua atau tiga untuk menampung penuntut-penuntut kelas dua dan tiga” (Utusan Malaysia 25 Ogos 1970).

Pada 2 September 1980, kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi telah dirasmikan penubuhannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah.

Kampus tetap Bangi yang dirasmikan itu terletak di kawasan seluas 2,967 ekar dan mampu menampung 10,000 pelajar dalam berbagai bidang pengajian dan telah mula digunakan pada akhir 1977.

“Dengan perasmian kampus tetap UKM di Bangi pada hari ini juga telah membuahkan hasil kepada kegigihan pejuang bahasa dan hasrat rakyat yang ingin melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat” (Hari Ini Dalam Sejarah: Perasmian UKM. Arkib Negara 8 Oktober 2008).

Menurut Utusan Malaysia, seramai 98 orang daripada 173 mahasiswa itu mengikuti kursus dalam fakulti sastera, Fakulti Sains (37 orang) dan Fakulti Islam (36). Tiga orang intelek Melayu yang ter­kenal mengetuai Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam.

Fakulti Sastera diketuai oleh Syed Naguib Al-Attas iaitu bekas Ketua Pengajian Melayu Universiti Malaya; Pengetua Kolej Islam Malaya, Tan Sri Dr. Abdul Jalil Hassan menge­tuai Fakulti Pengajian Islam de­ngan gelaran profesor dan Dr. Ghazali Abdul Rahman pensyarah di Universiti Malaya mengetuai Fakulti Sains.