Syed Husin Ali dalam tulisannya “Pak Sako Mewarisi Tradisi Datuk Bahaman Menentang Penjajah Tanpa Kompromi” dalam Buku Cende­ramata Malam Menghargai Pak Sako pada 5 Oktober 1987 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan, sejak zaman Datuk Bahaman dan Mat Kilau dalam abad ke-19, Ne­geri Pahang terkenal dengan pejuang yang gigih menuntut kemerdekaan tanah air.

Menurutnya, antara yang terbilang itu ialah Pak Sako. Bersama-sama Ibrahim Haji Yaakub, juga dari Pahang, beliau memimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM). Kemudian bersama-sama, antara lainnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Shamsiah Fakeh, beliau memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Selepas merdeka, Pak Sako menjadi Pengerusi Parti Buruh Malaya (PBM) pula, sewaktu Ahmad Boestamam me­mimpin Partai Rakyat Malaya (PRM) dan Dr. Burhanuddin memimpin Partai Islam SeMalaya (PAS)

“Pak Sako serta rakan-rakan seperjuangannya mahukan kemerdekaan dan keadilan sosial yang tulen. Beliau seperti Datuk Bahaman dan Maharajalela sebelumnya yang membawa tradisi penentangan, bukannya tradisi berkompromi atau bersubahat dengan pihak penjajah Inggeris. Itu sebabnya mereka diburu, di penjara ataupun digantung” (Syed Husin Ali 1987).

Menurut Syed Husin lagi, sumbangan besar Pak Sako bukan sahaja dalam bidang politik. Beliau merupakan pengarang novel prolifik era 1930-an dan 1940-an menerusi “Anak Mat Lela Gila” dan “Putera Gunung Tahan” untuk menyalurkan cita-cita perjuangan kebangsaannya dan men­yedarkan rakyat Tanah Melayu.

“Sebagai hasil sastera, ke­dua-dua buku ini merupakan ‘satire’ politik yang tajam dan sumbangan permulaan yang sangat penting dalam sejarah perkembangan novel serta sastera Melayu mo­den” Syed Husin Ali (1987).

Wan Hamzah Awang (Wahba) yang penulis buku “Biografi Pak Sako: Hidup Meniti Ranjau” (1991) menyatakan, Ishak Haji Muhamad berhenti dari Warta Malaya sebuah akhbar paling laris di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu dengan tekad menjayakan Utusan Melayu.

Semasa berada di Singapura, beliau ditugaskan oleh Yusof Ishak menjelajah seluruh negeri di Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) untuk menghebahkan mengenai penubuhan Utusan Melayu kepada orang Melayu.

“Lawatan Ishak ke Pantai Timur memakan masa lebih kurang 27 hari dan memakan belanja kira-kira S$200 sahaja. Ishak telah balik semula ke Singapura pada bulan April 1939” (Wan Hamzah Awang 1991: 88).

Pada bulan Julai 1939, Abdul Rahim Kajai telah berhenti daripada Warta Malaya untuk menyertai Utusan Melayu. Ishak rakan seperjuangan Abdul Rahim semasa di Warta Malaya kini berganding bahu untuk memajukan Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang mula diterbitkan pada 5 November 1939.

Aripin Said dalam tulisannya “Perginya Sasterawan Pen­ting Negara, Dato’ (Dr.) Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) dalam Dewan Sastera Disember 1991 menyatakan, sumbangan Pak Sako dalam bidang kewartawanan cukup bersejarah apabila bersama-sama Yusof Ishak mengasaskan Utusan Melayu.

Pak Sako pernah diangkat oleh Yusof Ishak menjadi Pengarang Utusan Melayu yang pertama apabila akhbar itu diterbitkan pada 29 Mei 1939 di Queen Street, Singapura.

Tulisan pertama beliau ialah dari “Warta Malaya ke Utusan Melayu’ disiarkan dalam keluarga sulung Utusan Melayu di muka surat dua dan tiga.

Rencana menarik itu menceritakan pengalaman Ishak ketika bertugas di akhbar Warta Malaya sejak 1 September 1937 serta mengenai kolum “Hantu Raya’ yang ditulisnya dalam akhbar tersebut.

Pak Sako meninggalkan Utusan Melayu apabila Jepun menakluki Tanah Melayu pada tahun 1941. Pada tahun 1980 beliau menjadi penulis undangan untuk akhbar yang pernah diasaskannya. Ruangannya “Di Simpang-Simpang Jalan” begitu popular di Utusan Me­layu dan Utusan Malaysia.

Menurut A. Samad Ismail dalam tulisannya bertajuk “Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) Yang Istimewa” dalam buku A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan (1991), Ishak Haji Muhamad mencapai kedudukannya yang teragung itu di Singapura, ketika beliau bekerja di Warta Malaya dan kemudian di Utusan Me­layu.