Menurut Abdul Samad Idris dalam buku 25 Tahun Merdeka (1982:88), setelah perhimpunan Agung di Kuala Kangsar meluluskan Undang-Undang Kerak­yatan itu beberapa bulan kemudian, Datuk Onn telah dijemput khas pergi ke London atas undangan Kerajaan Inggeris.

“Beliau (Datuk Onn) telah mengemukakan tuntutan berhubung dengan janji kerajaan Inggeris hendak membantu orang Melayu dalam usaha me­ninggikan taraf ekonomi mereka.

“Akhbar Utusan Melayu telah mengkritik pemergian Datuk Onn ke London yang dianggapnya merangkak serta melutut untuk meminta sedekah kepada Kerajaan Inggeris.

“Sekembalinya, Datuk Onn dari London beberapa bulan kemudian janji-janji yang diberikan oleh Kerajaan Inggeris dipenuhi. Hasilnya tertubuhlah sebuah jabatan kerajaan yang dinamakan Rural Industrial Development Authority atau RIDA. Datuk Onn sendiri dilantik menjadi pengerusi jabatan berkenaan” (Abdul Samad Idris 1982: 89).

Menurut Abdul Samad Idris, usaha RIDA yang dikemukakan oleh Datuk Onn itu kononnya untuk meninggikan taraf ekonomi orang Melayu itu bolehlah dianggap gagal.

“Tidak mustahil juga kemungkinan RIDA ditubuhkan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ sebagai umpan memancing perwakilan UMNO yang bersidang di Hotel Majestic supaya bersedia menerima Undang-Undang Kerakyatan yang disogokkan” (Abdul Samad Idris 1982: 90).

Menurut Abdul Samad Idris lagi, alasan para perwakilan bahawa orang-orang Melayu akan tenggelam dalam negara tanah tumpah darahnya sendiri kalau kedudukan ekonomi lemah, bukanlah satu perkara kecil. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini rela menjadi ‘ayam kebuluran di kepuk, itik kehausan di kolam mandi’.

Bagi meredakan ketega­ngan dengan Utusan, Datuk Onn mengadakan taklimat khas kepada wartawan Utusan Me­layu yang terdiri daripada Aziz Ishak, Melan Abdullah dan Othman Wok mengenai lawatannya ke London yang dikecam hebat kerana sanggup melutut depan penjajah Inggeris.

Zainuddin Maidin dalam buku Di Depan Api Di Belakang Duri: Sejarah Utusan Melayu (2013), menyatakan oleh kerana kecaman teruk yang dilakukan itu, Utusan Melayu yang pada mulanya disanjung tinggi oleh Yang Dipertua UMNO, Datuk Onn Jaafar telah tidak di­senangi olehnya.

Pemberita-pemberita Utusan Melayu sengaja disekat da­ripada memasuki Majlis Jamuan Teh yang diberikan oleh Datuk Onn di Istana Johor pada 5 September 1947 walaupun mereka dijemput.

Menurut Ahmad Fawzi Basri dalam bukunya Bumi Dipijak Milik Orang (1991), inilah keretakan awal dalam kepimpinan UMNO setelah berjaya menumbangkan Malayan Union.

“Datuk Onn telah dikecam sebagai seorang pembelot dan penjual bangsa Melayu” (Ahmad Fawzi Basri 1991: 33)

Seperti diduga, kerana tidak mendapat sokongan orang Melayu sejak usul Undang-Undang Kerakyatan atau Jus Soli dan usul keduanya mahu membawa orang-orang bukan Melayu menjadi ahli UMNO ditolak, akhirnya Datuk Onn nekad meninggalkan UMNO.

Beliau meletakkan jawatan Yang Dipertua dalam perhimpunan UMNO pada 25 dan 26 Ogos 1951 di Hotel Majestic Kuala Lumpur.

“Berakhirlah era pimpinan Datuk Onn dalam UMNO akibat didorong “gajah kerana ga­dingnya, terdorong harimau kerana belangnya (Abdul Samad Idris 1982: 91).

Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 yang dibuka untuk semua kaum se­perti mana impiannya yang gagal diterjemah dalam UMNO.