Dalam kemeriahan itu, juga sering dikaitkan tragedi kemalangan yang melibatkan jalan raya dan bencana kebakaran.

Ibarat ketupat dan rendang yang merupakan menu wajib bagi menjamu tetamu yang datang berkunjung, begitulah juga kes kecelakaan yang bagaikan mengiringi musim perayaan di negara ini.

Akhbar Utusan Malaysia 11 September 1977 memuatkan berita “Mangsa-Mangsa Api Beraya Dengan Air Mata” melaporkan kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 20 buah rumah di Kampung Haji Abdullah Hukum Jalan Bangsar Kuala Lumpur meninggalkan kesan pahit bagi 33 keluarga dan 15 individu bujang menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 10 September 1977.

Laporan itu memetik, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam insiden yang berlaku selepas berbuka puasa itu sebagai mimpi buruk ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut laporan Polis ketika itu, tidak menolak kemungkinan kebakaran yang melibatkan rumah kediaman 200 penduduk di Kampung Haji Abdullah Hukum itu berpunca daripada bunga api atau lampu minyak.

Dalam insiden kebakaran rumah kediaman itu kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.

Menteri Kebajikan Am ketika itu, Tan Sri Aishah Ghani yang melawat ke lokasi insiden kemalangan itu turut mengumumkan bantuan bencana RM10,000 untuk membantu penduduk yang terlibat kemalangan tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Tan Sri Yahya Yaakob pula yang menemui penduduk terlibat dan mengumumkan DBKL akan membina semula rumah keluarga yang terlibat dengan kebakaran tersebut.

GAMBAR-GAMBAR yang merakamkan insiden tragedi nahas bas di Merapoh.
GAMBAR-GAMBAR yang merakamkan insiden tragedi nahas bas di Merapoh.

Kebakaran besar yang berlaku itu turut mendapat perhatian Bahagian Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang turut menghulurkan sumbangan RM300 kepada mangsa-mangsa kebakaran.

Malang juga tidak berbau, dalam betapa bertuahnya umat Islam berpuasa dan beraya, kegembiraan tersebut sering kali diragut oleh nahas kemalangan jalan raya.

Akhbar Utusan Malaysia pada 1 Disember 2003 turut melaporkan kisah 14 orang terkorban manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas ekspres dan bas sekolah yang disewa khas di Kilometer 63 Jalan Kuala Lipis-Merapoh di Kampung Chegar Perah Kuala Lipis, Pahang.

Nahas itu merupakan kemalangan terburuk sempena Hari Raya Aidilfitri. 10 daripada mereka yang maut merupakan penumpang bas sekolah yang dalam perjalanan dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur manakala tiga orang adalah penumpang bas ekspres Mutiara yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan. Kesemuanya mati di tempat kejadian.

Ketua Trafik Negeri Pahang ketika itu, Superinten­den Baharuddin Sarbaini berkata, kemala­ngan itu berlaku pada pu­kul 1 pagi ketika bas ekspres Mutiara yang membawa 28 penum­pang bertembung de­ngan bas sekolah yang membawa 42 penumpang.

“Tiga belas daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Memandangkan jalan raya semasa musim perayaan dipenuhi kenderaan, terutamanya untuk perjalanan jauh, kemungkinan terlibat dalam kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan hari biasa.

Oleh itu, setiap pengguna jalan sama ada penunggang motosikal atau kereta, hendaklah sentiasa beringat bahawa risiko menggunakan jalan raya adalah lebih tinggi pada musim perayaan.