Itulah kali pertama beliau muncul di khalayak ramai selepas sembilan hari ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan lebam pada matanya masih dapat dilihat dengan jelas ketika itu.

Isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada waktu itu mendakwa, suaminya dicederakan semasa dalam tempoh tahanan di lokap tersebut sehingga dibawa ke mahkamah pada tarikh sama.

Beliau mendakwa, pipi Anwar lebam kira-kira setengah inci sehinggalah ke tepi mata kiri dan hanya mendapat rawatan selepas lima hari ditahan.

“Semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, Anwar telah disuntik. Saya khuatir dengan kemungkinan suntikan itu,” jelas Dr. Wan Azizah dalam sidang akhbar di Petaling Jaya bagi memaklumkan perkembangan keadaan suaminya sejak ditahan pihak polis seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 30 September 1998.

Mahkamah sama pernah mengeluarkan arahan supaya doktor bebas memeriksa kesihatan Anwar di lokap tersebut selepas beliau mendakwa mengalami kecederaan ringan dan le­bam di bahagian mata kirinya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hakim Hasnah Datuk Mohd. Hashim membuat keputusan itu atas permohonan Anwar yang dikemukakan oleh peguamnya, Christopher Fernando yang meminta supaya beliau diperiksa oleh doktor yang dilantik isteri dan keluarganya.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Ghani Patail sebelum membentangkan lima pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan meliwat terhadap Anwar, memohon izin mah­kamah untuk menyampaikan maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Anwar mengenai kecederaan ringan yang dialami semasa berada dalam tahanan polis.

Menurut buku Doktor Umum, Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Bab 53: Cabaran Anwar (2012), Dr. Mahathir pernah melahirkan kebimbangan apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor memaklumkan bahawa pihak polis akan menangkap Anwar atas dakwaan kononnya berlaku hasutan keganasan.

“Saya tahu penyokong beliau tidak akan berdiam diri. Lagipun, penangkapan itu akan menjadikan beliau seorang syahid politik. Saya nasihatkan Ketua Polis Negara agar tidak menggunakan kekerasan atau menggari beliau apabila melakukan penangkapan.

“Bagaimanapun, polis melakukan apa yang mereka selalu amalkan dengan mematuhi peraturan lazim. Mereka pergi ke rumah Anwar dengan memakai topeng, memecah pintu dan menggarinya sebelum dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa ke ibu pejabat polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menjangkakan bahawa Anwar akan didakwa di mahkamah serta-merta sejurus selepas penangkapan itu, tetapi beliau mula kehairanan apabila mendapati tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh tersebut.

“Kemudian saya diberitahu bahawa Anwar akan ditahan mengikut ISA. Saya tanya ber­ulang kali mengapa beliau tidak didakwa? Tetapi pihak polis hanya memberikan jawapan kabur.

“Tidak lama selepas itu, saya mendapat tahu yang mata beliau lebam ketika dalam tahanan dan polis mahu ia sembuh sebelum menghadapkannya di mahkamah serta di depan kamera media massa. Bagaimanapun, lebam pada matanya mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Saya bimbang kerana saya tidak mahu beliau ditahan di bawah ISA. Maka, saya beritahu polis yang kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri membe­ritahu sebagai seorang doktor, adalah amat mudah bagi seseorang individu mendapatkan lebam di mata.

“Jadi saya mengagak yang beliau mungkin terhantuk kerana tidak terfikir pula saya bahawa ada orang yang memukulnya. Ramai orang marah apabila saya membuat andaian bahawa Anwar yang menyebabkan kecederaan ke atas dirinya sendiri.

“Secara jujur, tidak terlintas dalam fikiran saya yang polis akan memukulnya, apatah lagi selepas saya sendiri mengarahkan Ketua Polis Negara supaya berhati-hati. Rupa-rupanya, beliau (Rahim) sendiri yang bertanggungjawab mence­derakan Anwar.

“Beliau telah mendedahkan dirinya kepada provokasi dan terus hilang sabar sehingga membalas dengan mence­derakannya. Tindakan itu sekali gus memberikan modal politik jangka panjang kepada Anwar dan penyokong parti politik pembangkang yang memperoleh bukti nyata mengenai sikap ‘kuku besi’ yang kononnya saya amalkan sehingga mempamerkan gambar Anwar de­ngan mata lebamnya ke seluruh negara,” jelasnya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan