Bekas wartawan De­wan Masyarakat itu mengakui semasa diberikan tugasan itu oleh Johan Jaaffar yang mengetuai Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) era itu, pada awalnya kisah Natrah itu dianggapnya cerita lapuk yang tidak mungkin dikenang orang.

“Namun pandangan ne­gatif saya berubah sebaik saja saya membuka lembaran akhbar Utusan Melayu (bertulisan jawi) dan The Straits Times keluaran bulan Disember 1950 di Arkib Negara Malaysia.

“Saya terkejut besar apabila gambar Natrah dan mereka yang berkaitan de­ngannya termasuk tragedi ru­suhan, ter­pam­­pang pa­da muka hadapan setiap hari se­lama sebulan,” ce­rita Fatini.

Setelah mene­liti semula sejarah be­sar ini, barulah Fatini sedar bahawa kisah cin­ta Natrah tidak men­jadi besar dan tidak akan terungkap sekiranya tidak terjadi rusuhan.

“Rusuhan inilah nilai sebenar kisah Natrah. Rusuhan inilah yang membesarkan kisah Natrah,” tulis Fatini lagi.

Menurutnya, oleh sebab latar sejarah semasa isu Natrah tercetus adalah kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu/Islam di rantau ini, maka dengan mudah isu Natrah berada di landasan semangat anti penjajah rakyat Tanah Melayu sehingga boleh meledak menjadi rusuhan.

“Dalam mencari iktibar da­ri takdir Allah terhadap bangsa Melayu kini, saya me­nemui ke­­­beranian dan semangat mem­­bela agama pada para pe­juang seperti Karim Ghani, Dr.Burhanuddin Helmy, Mohd. Taha Kalu, Darus Sherrif, Mohammed Murtaza, Syed Ali Al Attas, M.A. Majid, Profesor Ahmad Ibrahim, Tun Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman dan para pejuang lain yang saya tidak kenal dan tidak terbaca namanya pada zaman itu.

Menurut Fatini lagi di sebalik cerita rusuhan itu yang me­numpah darah dan korban nyawa, persoalan kedua yang masih relevan dalam isu Natrah sehingga hari ini ialah isu murtad.

“Di sebalik isu undang-undang dan isu murtad yang me­ngiringi kes Natrah memberi impak yang luas dan menyentuh hati nurani masyarakat Melayu/Islam dari dahulu sehingga kini, pelaku utama kisah ini, Natrah sendiri melalui hidup yang sukar sama ada secara batin mahupun secara fizikal” (Fatini Yaacob 2010: xxix).