Mohd. Fitri Abdul Rahman dan Mohd. Foad Sakdan (2013) dalam buku Konflik Politik Perkauman: Strategi dan Penyelesaian Cara Malaysia menyebut bahawa berdasarkan Laporan Tragedi 13 Mei 1969, sebanyak 143 orang Cina, Melayu (22) dan India (12) terbunuh dalam rusuhan berdarah yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang aman damai sejak merdeka.Tragedi 13 Mei 1969 berkesudahan dengan pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen dan pembentukan Majlis Ge­rakan Negara (Mageran) atau Natio­nal Operations Council (NOC).

TUN ABDUL RAZAK
TUN ABDUL RAZAK 

Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia diletakkan di bawah kuasa yang ditadbir oleh Mageran yang diketuai oleh Tun Abdul Razak sebagai Pengarah Tindakan.

Tun Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri merupakan orang paling berkuasa dalam negara dalam tempoh itu apabila beliau diberi kuasa penuh oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman bagi menentukan hala tuju keselamatan dan pentadbiran negara selepas tragedi berdarah melalui Mageran.

Pengumuman itu dibuat oleh Tunku Abdul Rahman dalam ucapan beliau menerusi televisyen dan radio ke seluruh negara pada 16 Mei 1969.

Tunku menegaskan: “Sekarang saya telah pun menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara atau National Operations Council dan Tun Razak sebagai Pengarah Tindakan atau Director of Operations, dengan diberi tanggungan-tanggungan yang penuh untuk menjalankan pentadbiran di bawah Perisytiharan Darurat dan dalam Operasi Council ini akan termasuk agensi-agensi keselamatan...” (Tunku Abdul Rahman 2007: 98).

Mohd. Fitri Abdul Rahman dan Mohd. Foad Sakdan turut menyatakan, di bawah kerajaan Mageran, beberapa strategi penghindaran krisis dan konflik perkauman diper­kenalkan iaitu pengenalan pada Prinsip Rukun Negara, berupa ideologi kebangsaan yang harus dihayati semua rakyat Malaysia, pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB), berasaskan tujuan penyusunan semula masyarakat serta mewujudkan akta dan undang-undang bersabit perkara-perkara atau isu sensitif seperti Akta Hasutan 1971.

Kesan tragedi berdarah itu turut memberi impak kepada kepimpinan negara apabila Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan pada 22 September 1970 apabila terasa bahangnya akibat tekanan dari dalam dan luar negara.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Februari 1971 bertajuk Demokrasi baru ala Malaysia be
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Februari 1971 bertajuk Demokrasi baru ala Malaysia be 

Tunku yang terkesan dengan surat Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh beliau bermain poker semasa tragedi itu berlaku selain laporan media asing yang berat sebelah dan memihak kepada penentang kerajaan turut memberi imej buruk terhadap kepimpinan beliau.

Misalnya, akhbar terkemuka Age di Melbourne, Australia telah menyiarkan satu berita di bawah tajuk ‘National Headed Disaster’ (Negara Menuju ke arah Kehancuran) pada pagi selepas tercetusnya rusuhan iaitu pada 14 Mei 1969.

Peletakan jawatan Tunku Abdul Rahman membolehkan Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu dan Tun Dr. Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pemerintahan Mageran berakhir setelah 21 bulan dikuatkuasakan dan fungsi Parlimen dikembalikan pada bulan Februari 1971.

Tragedi 13 Mei sepatutnya menjadi iktibar kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti ingatan Tunku Abdul Rahman yang menyeru agar semua pihak tidak memainkan isu sensitif yang boleh mencetuskan kemarahan atau provokasi kepada mana-mana kaum.

“13 Mei merupakan suatu ingatan berkekalan kepada kita semua tentang bahaya yang akan timbul daripada sikap mengetepikan Perlembagaan dan mempermain-mainkan soal-soal yang menyentuh perasaan, adat resam dan adat istiadat pelbagai kaum, ter­utama sekali dalam masyarakat negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

“Sungguhpun kita baru saja mempunyai satu sejarah yang singkat selama 12 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka tetapi bukankah sejarah itu menjadi bukti yang berkekalan bahawa kejayaan-kejayaan kita itu berasas kepada perpa­duan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita ini.

“Ketika kita menubuhkan negara, kita sedar di atas hakikat ini dan dengan sebab itu kita telah menggunakan cogan kata ‘Bersatu Bertambah Mutu’ bagi negara kita.

“Kejayaan yang telah kita capai dan martabat tinggi yang telah kita peroleh pada pandangan dunia bukanlah dengan usaha sesuatu kaum sahaja tetapi dengan usaha semua kaum di Malaysia, iaitu mereka yang berbangga memanggil dirinya Malaysian” (Tunku Abdul Rahman 2007: 193).

Tun Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri merupakan orang paling berkuasa dalam negara bagi tempoh itu apabila beliau diberi kuasa penuh oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman...