Menurut laporan Utusan Malaysia 28 Julai 1983, Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang melawat Jengka Tiga Segi pada awal 1980 nyata terkejut kerana ‘bandar orang Melayu’ yang dirancangkan 12 tahun lalu itu masih belum wujud dengan sempurna dan tidak dapat berfungsi dalam erti kata yang sebenarnya sebagai sebuah bandar moden seperti diimpikan oleh Tun Abdul Razak.

Malah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sejak 12 tahun wujudnya Perbadanan Kemajuan Jengka (PKJ), ke­seluruhan daripada pelaksa­naan projek pembangunan di Jengka sebagaimana yang digariskan itu hanya mencapai kejayaan setakat 10 peratus sahaja.

“Dalam kata-kata lain menurut Mohd Najib pembangunan Bandar Pusat Jengka tidak dapat mencapai sasaran yang terkandung dalam pelan induk Wilayah Jengka” (Utusan Malaysia 28 Julai 1983 halaman 15).

MAJALAH Berita Jengka terbitan Julai 1995 oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka memuatkan gambar semp
MAJALAH Berita Jengka terbitan Julai 1995 oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka memuatkan gambar sempena lawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jengka bagi meninjau operasi kilang dari Jepun, Alps Electric (M) Sdn. Bhd. di kawasan Perindustrian Bandar Pusat Jengka.

Akibat terbantutnya impian Tun Abdul Razak bagi mewujudkan perbandaran orang Melayu yang serba moden itu, maka Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKW) telah dibentangkan di Parlimen pada 25 Mac 1983 bagi membolehkan semua peranan yang berada di bawah Perbadanan Kemajuan Jengka (PKJ) diambil alih oleh Kerajaan Pusat.

Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, Datuk Rais Yatim telah mencadangkan satu Rang Undang-Undang yang dinamakan Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka 1983.

“Tuan Yang Dipertua, tujuan Rang Undang-Undang ini secara ringkasnya ialah bagi menubuhkan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka yang akan mengambil alih tugas dan tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Jengka (PKJ) sebuah badan berkanun di Ne­geri Pahang.

“Perbadanan Kemajuan Jengka yang ditubuhkan pada tahun 1971 merupakan sebuah agensi pembangunan Wilayah yang pertama diusahakan di negara ini. Penubuhan Perbadanan Kemajuan Jengka oleh Kerajaan Negeri Pahang adalah bertujuan melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab, antara lain menyelaras segala aktiviti pembangunan melainkan pembangunan pertanian di Wilayah Jengka Tiga Segi dan membangunkan tiga buah bandar iaitu, Bandar Pusat Jengka, Bandar Barat Daya dan Bandar Tenggara” (Pen­yata Rasmi Parlimen Jilid 1: Bil. 53. Tarikh 29 Mac 1983).

Menurut Rais lagi, mengikut perancangan, keseluruhan Jengka Tiga Segi akan mempunyai penduduk antara 150,000 hingga 160,000 orang pada akhir tahun 1990. Ini termasuklah 100,000 orang dalam sektor pertanian dan 50,000 hingga 60,000 orang merupakan penduduk di tiga buah bandar yang dirancangkan itu.

“Tuan Yang Dipertua, secara umumnya, pelaksanaan pembangunan pertanian di kawasan Jengka Tiga Segi ini adalah satu perkara yang boleh dibanggakan. Sehingga kini sebanyak 31 buah rancangan kemajuan tanah telah dimajukan oleh Felda dengan tanaman kelapa sawit dan getah dengan melibatkan lebih daripada 85,000 orang penduduk.

“Sungguhpun begitu kemajuan pembangunan bandar-bandar yang menjadi tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Jengka adalah lembab. Dari tiga buah bandar yang telah dirancangkan hanya Bandar Pusat Jengka yang telah mula dibangunkan. Prestasi Pembangunan Pusat Jengka adalah jauh ketinggalan daripada matlamat yang telah dirancangkan.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk bersetuju dengan permintaan kerajaan Negeri Pahang supaya PKJ diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dan seterusnya sebuah Lembaga Kemajuan Wilayah yang baru ditubuhkan bagi kawasan Jengka” (Penyata Rasmi Parlimen Jilid 1: Bil. 53. Tarikh 29 Mac 1983).

Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen itu mendapat sokongan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohamed Khalil Yaakob (Maran), Mohamed Amin Haji Daud (Pekan), Wan Abu Bakar Wan Muhamad (Jerantut) dan Azharul Abidin Abdul Rahim (Batang Padang).

Azharul Abidin menyatakan bahawa PKJ yang te­lah beroperasi sejak 1971 tetapi ‘paling kerdil di rantau’ ini kerana tidak memiliki dana yang mencukupi untuk membangunkan wilayah pembangunan terbesar di negara ini hasil cetusan pemikiran anak watan negeri Pahang, Tun Abdul Razak yang ketika itu Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Oleh itu saya amatlah sukacita menyokong Rang Undang-Undang ini diluluskan untuk menjadi Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (Penyata Rasmi Parlimen Jilid 1: Bil. 53. Tarikh 29 Mac 1983).

Mujurlah pemimpin-pemimpin negara yang patriotik menyedari betapa perlunya legasi yang ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak di Jengka, diteruskan dalam apa cara sekali pun oleh Kerajaan Pusat bagi membangunkan Bandar Pusat Jengka sebagai bandar orang Melayu serba moden di negara ini.