Kontroversi yang berlaku ketika itu melibatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan raja-raja Melayu merupakan sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila.

Mengapa? Kerana krisis itulah yang membawa kepada hilangnya `imuniti’ undang-undang dalam kalangan raja-raja Melayu serta kerabatnya melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Krisis itu menyaksikan Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai raja-raja Melayu termasuklah kekebalan daripada perundangan dipinda.

Sekiranya sebelum 1993, raja-raja Melayu kebal daripada tindakan undang-undang, krisis yang membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan telah membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas raja-raja Melayu.

Kesannya sangat besar sehingga ke hari ini, berdasarkan kedudukan undang-undang semasa, raja-raja Melayu boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu.

Bukankah orang Melayu taat kepada raja-raja Melayu? Jadi, bagaimana krisis ini boleh tercetus?

Semuanya bermula sekitar Disember 1992 apabila berlaku apa dianggap sebagai `insiden Gomez’ yang didakwa membabitkan kerabat diraja Johor.

Dilaporkan kononnya Douglas Gomez, jurulatih pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar di Johor telah membuat laporan polis mendakwa dipukul oleh kerabat diraja Johor. Dicatatkan perkara itu tercetus rentetan kekalahan Johor kepada Perak dalam satu kejohanan hoki.

Peristiwa itu mendapat perhatian rakyat ketika itu yang mempersoalkan kekebalan raja-raja Melayu serta kerabat diraja.

Tanpa disangka, satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan pada 10 Disember 1992 dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba mengemukakan usul supaya langkah diambil untuk menyekat kekebalan kerabat diraja.

Usul itu mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Dewan Rakyat. Bukan itu sahaja, usul tersebut turut mendapat sokongan parti pembangkang ketika itu iaitu Pas dan DAP, manakala Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah membantah kerana berpandangan apa dibentangkan hanya melemahkan kedaulatan raja-raja serta ketuanan Melayu.

Maka, bermulalah `kempen’ memaparkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja Melayu termasuklah gaya hidup mewah selepas usul tersebut dikemukakan kerajaan kepada Dewan Rakyat.

Banyak pemerhati melihat ‘kempen’ itu bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap ‘perang’ membabitkan kerajaan dan raja-raja Melayu. Hubungan antara kerajaan dengan raja-raja Melayu ketika itu disifatkan sebagai ‘tegang’.

Pelbagai laporan disiarkan media ketika itu dengan bukan hanya menjurus kepada Sultan dan kerabat diraja Johor, tetapi raja-raja Melayu lain termasuklah kerabat Pahang.

Selepas beberapa perubahan dilakukan terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat meluluskan pelaksanaannya pada 8 Mac 1993 manakala Dewan Negara pada 30 Mac.

Maka, bertitik-tolak daripada itu, raja-raja Melayu yang sebelum tahun 1993 mempunyai kekebalan dari segi perundangan, tidak lagi mempunyai kelebihan itu.

Memetik ucapan Dr. Mahathir semasa perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat menegaskan bahawa raja-raja tidak pernah mengatasi undang-undang.

Beliau juga berkata ketika itu, negara dibentuk mengikut satu Perlembagaan yang bertulis.

“Kita semua memegang jawatan masing-masing mengikut peruntukan ini, termasuklah raja-raja.

Perlembagaan atau undang-undang tubuh atau undang-undang asas negara adalah undang-undang yang menentukan adanya raja, adanya Yang di-Pertuan Agong, adanya Majlis Raja-Raja, adanya jemaah menteri dan sebagainya.

“Institusi-institusi ini dari awal lagi tidak wujud dengan sendirinya tetapi adalah hasil perjanjian antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada satu kontrak sosial,” kata Dr. Mahathir.