Jawatan Ketua Pengarang dan Pengurus Besar terus dipegang oleh Yusof Ishak manakala Rahim Ishak, adik Yusof mula be­kerja dengan Utusan Melayu sebagai penulis Rencana Pengarang.

Said Zahari yang sebelum ini menjadi wakil Utusan Me­layu di Malaya dilantik sebagai Pengarang Berita. Namun begitu, Penolong Pengarang Utusan Melayu A. Samad Ismail, tidak turut sama ke Kuala Lumpur kerana ditukarkan ke Jakarta sebelum perpindahan itu lagi.

Mohd. Safar Hasim dalam buku Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar Sejak 1806 (1996) menyatakan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan beroperasi mulai Februari 1958 tanpa heronya, Timbalan Pengarang, A. Samad Ismail.

“Perpindahan ini diselimuti dengan kontroversi mengenai kawalan yang dikenakan kepada akhbar itu. A. Samad, Timbalan Pengarang akhbar itu ketika di Singapura tidak turut berpindah kerana telah dihantar oleh Yusof mewakili Utusan Melayu di Jakarta.

“Kontroversinya ialah sama ada kerajaan Tunku Abdul Rahman tidak mahu A. Samad datang ke Kuala Lumpur. Masalahnya ialah A. Samad dan Yusof sudah mula renggang kerana penekanan Yusof terhadap perniagaan manakala penekanan A. Samad kepada sastera” (Mohd. Safar Hasim 1996: 255).

Menurut Safar lagi, pengiriman A. Samad ke Indonesia mungkin hanya helah Yusof untuk mengetepikan A. Samad supaya beliau boleh menguasai operasi Utusan Melayu sepenuhnya termasuk Jabatan Pengarang.

Desas desus yang mengatakan, A. Samad dikatakan tidak dikehendaki di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman begitu samar.

Malah A. Samad sendiri pernah menulis surat kepada dua tokoh UMNO, Syed Jaafar Albar dan Datuk Senu Abdul Rahman, bertanyakan desas desus tersebut tetapi jawapan yang diterima mengatakan Tunku tidak ada halangan jika A. Samad datang ke Kuala Lumpur.

“Said Zahari menggantikan tempat A. Samad sebagai editor. Said sendiri percaya Utusan Melayu dibenarkan terbit di Kuala Lumpur dengan syarat A. Samad tidak datang. Katanya: Saya fikir Lembaga Pengarah berpendapat Utusan Melayu lebih pen­ting oleh itu A. Samad terpaksa dikorbankan.

“Said berkata kalau kerajaan sanggup meletakkan syarat sedemikian nyatalah ia adalah satu usaha hendak mengongkong Utusan Melayu. A. Samad akhirnya datang juga ke Kuala Lumpur sebagai editor Berita Harian tanpa dihalang (Mohd. Safar Hasim 1996: 256).

Menurut Said dalam bukunya Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik (2001), sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, satu krisis dalaman telah timbul berkaitan kedudukan dan masa depan A. Samad sebagai Timbalan Pengarang Utusan Melayu.

Menurut Said lagi, punca A. Samad dipindahkan ke Jakarta masih menjadi misteri sehingga ke hari ini. Apa sebenarnya yang berlaku masih belum diperjelaskan ke­rana ramai pelaku yang terlibat secara langsung dalam krisis itu sudah tidak ada lagi. A. Samad sendiri agak keberatan menceritakan sepenuhnya sebab dan motif sebenar yang mencetuskan krisis itu.

Bagi Said, beliau menjangkakan penjajah Bri­tish tidak mahu Utusan Melayu yang akan berpindah ke Kuala Lumpur terus diterajui oleh A. Samad selaku Timbalan Pengarang. Situasi ini berkait rapat dengan status A. Samad sebagai bekas tahanan politik dan seorang pengasas PAP yang rapat hubungan dengan Lee Kuan Yew.

“Aku kira tentu Inggeris mahu A. Samad disingkirkan dengan apa cara sekalipun sebelum Utusan Melayu boleh dibenarkan beroperasi di Kuala Lumpur” (Said Zahari 2001: 63).

Zainuddin Maidin dalam buku Di Depan Api Di Belakang Duri: Sejarah Utusan Me­layu (2013) dalam bab ‘Kata Dua Tunku’ menyatakan, Yang Dipertua UMNO, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab di atas penyingkiran kedua-dua tokoh besar itu dari Utusan Melayu.

Siapa yang menyingkirkan siapa? A. Samad telah di­singkirkan dari kedudukannya sebagai Timbalan Pengarang Utusan Melayu pada tahun 1957 manakala Yusof yang merupakan Pengarah Urusan, Pengarang dan penaja Utusan Melayu tersingkir pada tahun 1958.

“A. Samad mempunyai ba­nyak prasangka terhadap Yusof sebagai bertanggungjawab atas penyingkirannya kerana mencemburui penonjolannya dan juga mengesyaki Perdana Menteri Singapura, Kuan Yew iaitu musuh politiknya berada di belakang tindakan itu. Yusof pula mengesyaki Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman menyingkirkannya” (Zainu­ddin Maidin 2013: 91).

Zainuddin membuat ke­simpulan, penyingkiran kedua-dua tokoh besar Utusan Melayu itu adalah kerana kuasa politik tidak senang dengan sikap radikal Utusan Melayu yang kekirian, pro-Indonesia serta condong kepada sosia­lisme dan komunisme.

ESOK: Said Zahari kemudi Utusan Melayu