Profesor Edmund Teren­ce Gomez dalam bukunya UMNO’S Corporate Investments (1990) menyatakan, selaras dengan dasar itu, kerajaan telah menghadiahkan kepada United Engineer (M) Bhd. (UEM) kontrak bernilai RM3.4 bilion untuk menswastakan projek Lebuhraya Tol Antara Bandar Utara-Selatan yang dikenali dengan nama Lebuh­raya Utara-Selatan.

“Ini merupakan projek penswastaan terbesar yang pernah dilaksanakan setakat ini. Hampir separuh lebuh raya yang panjangnya 1,000 kilometer ini telah pun disiapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan menelan belanja sebanyak RM3 bilion” (Gomez 1990: 127).

Bagaimanapun, projek itu mendapat kritikan pakar-pakar ekonomi, pihak pembangkang dan orang ramai yang melihat projek itu sebagai naungan kerajaan melalui Dasar Penswastaan.

AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 9 September 1994 memaparkan tulisan mengenai Perdana Menteri Dr Mah
AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 9 September 1994 memaparkan tulisan mengenai Perdana Menteri Dr Mahathir merasmikan Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan Rehat dan Rawat Rawang, Selangor. 

Bantahan itu disuarakan terutamanya oleh Ketua pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang (DAP), Profesor Syed Husin Ali (Universiti Malaya) dan Zainal Rampak (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang mengetuai Gerakan Anti penyelewengan (GAP).

“Tuduhan pilih kasih da­lam urusan perniagaan serta konflik kepentingan ditujukan kepada pentadbiran Dr. Mahathir, terutamanya apabila diketahui umum bahawa Hatibudi yang dimiliki oleh UMNO mempunyai pemilikan majoriti dalam UEM.

“Terdapat laporan yang menunjukkan bahawa UEM memulakan persediaan membida, membiayai dan menjalankan operasi projek itu pada bulan Jun 1985 sebaik sahaja Hatibudi mengambil alih UEM. Malahan, cadangan untuk menswastakan projek itu sebenarnya datang daripada UEM yang berharap akan mendapat kontrak itu tanpa proses persaingan pembidaan (Gomez 1990: 128).

Menurut Gomez lagi, Dasar Penswastaan yang diper­kenalkan oleh Dr. Mahathir mentakrifkan “permindahan perkhidmatan dan perusahaan kerajaan kepada sektor swasta”.

Asal-usul konsep ini menurut Gomez boleh didapati dalam buku The Malay Dilemma oleh Mahathir (1981: 52) yang menyatakan: “...telah diterima umum bahawa kerajaan tidak berupaya menggerakkan ekonomi secara maksimum yang diperlukan dalam perniagaan. Oleh itu pemiliknegaraan de facto terhadap perkhidmatan keretapi, perkhidmatan pelabuhan dan bekalan kuasa yang menyekat perusahaan bebas tidak disukai, malah oleh kerajaan sendiri”.

Menurut Pakar EkonomiProfesor Jomo Kwame Sunda­ram dalam bukunya Dasar-Dasar Ekonomi Mahathir edisi ketiga (1987), pen­swas­taan pada masa kini lebih buruk kesan­nya kerana dilaksanakan dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang paling teruk semenjak merdeka.

“Projek Lebuh raya Utara-Selatan bernilai RM8 bilion walaupun diswastakan akan melibatkan pembiayaan awam akibat dari pinjaman sebanyak RM1.5 bilion yang diberi oleh kerajaan kepada kontraktor utama United Engineers. Keputusan tersebut telah diambil tanpa persetujuan atau rundingan umum. Setakat ini kerajaan masih belum mengumumkan kadar bunga yang dikenakan ke atas pinjaman dan siapakah penjaminnya” (Jomo 1987: 70-71).

Menurut Jomo lagi, seperti ditegaskan oleh Dr. Mahathir, Dasar Penswastaan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pemilikan, operasi dan pengurusan projek dalam sektor awam dan swasta seperti dilakukan terhadap Syarikat Telekom Malaysia (STM), Sistem penerbangan Malaysia (MAS), Lembaga Letrik Negara (LLN) dan projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Logik Dr. Mahathir ialah jika projek mega seperti Lebuh raya Utara-Selatan tidak dibuat pada masa itu, kos akan meningkat berkali ganda jika hendak dibina dalam tempoh 20 atau 30 tahun lagi.