Bagi merealisasikan impian itu, Tun Abdul Razak menaiki helikopter bagi meninjau sendiri lokasi strategik yang masih dipenuhi hutan belantara tebal yang terletak di negeri kelahirannya sendiri meliputi tiga daerah, iaitu Maran, Jerantut dan Temerloh di Pahang.

Menurut laporan Utusan Melayu 1 Mac 1966, berpandukan kejayaan projek pertama di Lurah Bilut di Raub, Pahang, Tun Abdul Razak mengarahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) membangunkan Jengka sebagai projek tanah rancangan besar-besaran bagi membolehkan ribuan penduduk yang miskin dan tidak bertanah dapat menguruskan sendiri ladang seluas 10 ekar setiap seorang bagi memperbaiki ekonomi keluarga dan taraf hidup masing-masing.

Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali yang menjadi Pengerusi Felda ketika itu menceritakan, Tun Abdul Razak sendiri kagum apabila melihat kawasan berbentuk ‘piramid’ itu yang memiliki keluasan yang dianggarkan lebih 300,000 ekar (1.2 juta hektar)dianggap amat sesuai untuk dibangunkan dengan projek ladang-ladang pertanian dan rumah-rumah peneroka.

“Pada masa itu, Jengka dianggap kawasan yang pa­ling sesuai dibangunkan memandangkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah Pahang antara Maran, Jerantut dan Temerloh.

“Jengka adalah kawasan yang paling luas dan tidak mempunyai ramai penduduk tempatan dengan topografi dan keadaan muka bumi yang baik. Taburan hujan dan keadaan tanah juga sesuai untuk pembangunan secara besar-besaran. Boleh dikatakan ia satu kawasan yang sangat ideal sekali,” (Petikan temuramah dengan Raja Muhammad Alias sempena 55 tahun Felda).

Bagi memulakan projek raksasa itu, kerajaan Pahang menerusi operasi Syarikat Jengka dengan usahasama syarikat dari Kanada diberi tanggungjawab sebagai syarikat konsesi pembalakan bagi memproses kayu balak untuk di eksport.

Sejak itulah Jengka dikenali dengan nama popularnya ‘Kanada’. Semasa mula-mula Jengka dibangunkan, Sultan Pahang ketika itu, Sultan Abu Bakar berkenan melawat Jengka untuk melihat sendiri projek impian Tun Razak yang menelan belanja berjuta-juta ringgit itu.

“Saya masih ingat, apabila Almarhum Sultan Abu Bakar melawat Jengka pada 1970-an, ketika dalam Land Rover yang dinaiki, baginda bertitah: Di Jengka ini, Felda bukan membuka rancangan, sebenarnya Felda membuka ne­geri,” cerita Raja Muhammad Alias.

Pada mulanya, sebanyak 23 buah rancangan diwujudkan oleh LKTP bermula dari urutan nombor satu dengan gabungan nama bunga yang terdapat di negara ini seperti Jengka Satu (Anggerik), Felda Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Puteri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (terkis) dan Jengka 23 (Tonkin).

Pada 1971, Perbadanan Kemajuan Jengka (PKJ) ditubuhkan mengikut Enakmen Negeri Pahang bagi menjadikan PKJ sebagai agensi kerajaan negeri mentadbir Wilayah Jengka sebagai pusat ekonomi baru di negeri itu.

Tun Abdul Razak mempe­lawa sendiri, Pegawai Daerah Cameron Highland, Datuk Hamidin Abdullah yang berasal dari Temerloh, Pahang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran daerah dan arif dalam bidang pertanian bagi menerajui PKJ sebagai Pengurus Besar yang pertama.

PKJ diberi tanggungjawab membangunkan Bandar Pusat Jengka, Simpang Kampung Awah dan Jengka Jaya sebagai bandar-bandar satelit untuk kemudahan penduduk berniaga dan mendapatkan barangan keperluan harian.

Ternyata, setelah setengah abad Jengka dibangunkan menerusi bantuan Bank Dunia bernilai AS$250 juta bagi menampung pembiayaan projek di Jengka bernilai RM347.5 juta, terbukti impian menggunung Tun Razak untuk melihat anak bangsanya hidup secara bermaruah dan tidak lagi dibelenggu kemiskinan mencapai matlamatnya.

Felda terbukti bukan sahaja membanggakan kita sebagai sebuah agensi yang paling berjaya di dunia, malah dicontohi negara-negara membangun sebagai kaedah paling berkesan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat di luar bandar.

  • ESOK: kerajaan pusat 
ambil alih jengka