Tindakan Datuk Onn me­restui prinsip Jus Soli untuk memberi kerakyatan negara ini kepada bukan Melayu turut ditentang oleh Utusan Melayu yang menganggap suatu pengkhianatan terhadap orang Melayu, Raja-raja Me­layu dan Tanah Melayu.

Utusan Melayu dengan tegas menyatakanbahawa sokongan Datuk Onn terhadap prinsip Jus Soli seolah-olah beliau menjadi alat British untuk merealisasikan impian menghalalkan perbuatan membawa masuk kaum Cina dan India ke Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Ke­dua.

Datuk Onn semasa menyampaikan ucapan pen­ting berhubung Undang-Undang Jus Soli dalam Majlis Mesyuarat Agung UMNO pada 20-21 Mei 1950 me­nyatakan kerajaan British sengaja menimbulkan kesulitan kepada bangsa Melayu berhubung dengan taraf kerakyatan bangsa asing di negara ini.

“Sebelum perang, kerajaan British tidak pernah mempersoalkan perkara ini kerana pendatang-pendatang asing yang berhijrah di negara ini dianggap rakyat King England,” tegas Datuk Onn.

Datuk Onn berpendapat, British mula merasakan satu beban untuk membawa balik ke England pendatang-pendatang asing ini sebagai rakyat ‘King England’.

Pendatang-pendatang asing ini berhijrah ke Tanah Melayu adalah atas kemahuan pihak Inggeris bagi tujuan perkembangan perusahaan melombong bijih timah dan pengeluaran getah untuk komoditi negara.

“Dengan rumitnya masalah kerakyatan pendatang-pendatang ini sekiranya rakyat bumiputera berjaya mencapai kemerdekaan dengan cepat maka taraf kerakyatan Persekutuan (Federal Citizen) pada ketika itu diubah menjadi taraf kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu selaras dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu menggantikan Malayan Union.

Taraf kerakyatan itu terbuka kepada:

* Rakyat sebarang negeri Melayu

* Rakyat British yang diperanakkan di Pulau Pinang atau Melaka.

* Orang-orang yang sudah pun mendapat kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu menurut Bahagian XII 
di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

“Saya telah berkata tadi iaitu sekiranya tidak ada sesebuah negeri itu menentukan undang-undangnya, menetapkan rakyat, maka terpakailah Undang-Undang Dunia yang dikatakan Jus Soli atau Undang-Undang Tanah Air, atau dengan terangnya undang-undang yang mengatakan barang siapa yang diperanakkan di dalam sesebuah negeri, maka orang itu menjadilah rakyat negeri itu,” ucap Datuk Onn.

Langkah Datuk Onn membawa usul Undang-Undang Taraf Kerakyatan ini diluluskan telah mendapat tentangan yang hebat daripada sidang perwakilan UMNO.

Buat kesekian kalinya, orang Melayu bangun menentang pemimpin mereka sendiri apabila soal ‘Undang-Undang Ke­rakyatan Malaya’ pertama kali dibawa oleh Datuk Onn untuk dibahaskan di Persidangan UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 20-21 Mei 1950.

Menurut Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka (1982), Utusan Melayu sebuah akhbar Melayu yang diterbitkan di Singapura oleh te­lah mempelopori penentangan Undang-Undang Kerakyatan atau Jus Soli ini.

ESOK: Utusan Melayu kritik Datuk Onn melutut kepada Inggeris