Mengikut rancangan Bri­tish itu, Tanah Melayu ke­cuali Singapura akan dijadikan tanah jajahan takluk British seratus peratus dengan diberi nama Malayan Union.

Menurut bekas Penolong Pengurus Utusan Melayu, Hashim Hassan dalam rencana bertajuk Peranan Akhbar Utusan Melayu, Sempena 25 Tahun Merdeka (31 Ogos 1982), kerajaan Britain telah mengutuskan seorang pegawainya bernama Sir Harold Mac Micheal untuk ‘memulas tangan’ sultan-sultan dan menggertak baginda sekalian secara halus supaya mene­rima rancangan Malayan Union.

Akhirnya baginda sekelian pun mengalah dan menerangkan kemudiannya bahawa mereka telah menurunkan tanda tangan akibat ugutan-ugutan British itu.

Menurut Hashim lagi, penyerahan kedaulatan kepada kerajaan British itu telah dihentam oleh Utusan Melayu sekeras-kerasnya.

“Rencana Pengarangnya yang mengutuk perbuatan British itu dan rancangan Malayan Unionnya dengan sekejap masa sahaja telah mendapat sokongan orang Melayu di seluruh negara.

“Demi sesungguhnya sikap dan pendirian Utusan Melayu menentang Malayan Union itu telah menjadi salah satu pendorong kepada Datuk Onn Jaafar memimpin orang Melayu pada masa itu yang bersepakat memusuhi Malayan Union. UMNO pun tertubuhlah,” cerita Hashim Hassan.

Menurut Yusof Ishak dalam buku cenderamata Ulangtahun ke-10 Utusan Melayu, pada masa itu orang-orang Melayu marah disebabkan oleh perbuatan British mencabul treaty-treaty lama mereka dengan orang-orang Melayu dan niat British hendak memaksakan Malayan Union ke atas orang-orang Melayu.

“Utusan Melayu dari mulanya telah meng­in­gatkan sultan-sultan su­paya jangan menan­datangani perjanjian-per­janjian Mac Michael itu. Ingatan ini tidak diendahkan sa­ma sekali.

“Di belakang itu, mereka berkata konon bahawa mereka te­lah menandatangani treaty-treaty itu iaitu suatu perbuatan yang bererti bahawa mereka menye­rahkan kedaulatan mereka kerana mereka telah terugut.

“Pimpinan Utusan Melayu di dalam mencela Malayan Union dengan sekejap sahaja mendapat ikutan di seluruh Malaya dan terbit daripada ini Datuk Onn bin Jaafar (Johor) menjadi pemimpin orang-orang Melayu yang pada ketika itu boleh dikatakan telah bersatu,” kata Yusof Ishak.

Pembongkaran demi pembongkaran tembelang Bri­tish oleh Utusan Melayu telah mendorong diadakan Kongres Melayu selama empat hari pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Kongres itu yang dipengerusikan oleh Datuk Onn membuat keputusan mendesak British menarik balik cadangan itu kerana perjanjian yang ditandatangani raja-raja Melayu itu tidak sah tanpa sokongan rakyat. Keputusan kongres itu telah dihantar kepada Perdana Menteri British, Clement Attlee. Bagaimanapun bantahan itu tidak diendahkan oleh British, menyebabkan Datuk Onn terpaksa memanggil kongres tergempar yang kedua pada 29-30 Mac 1946 di pejabat akhbar Majlis di Kuala Lumpur.

Kongres itu mengambil keputusan memulaukan majlis istiadat perisytiharan Gabenor Ma­layan Union pada 1 April 1946 dan me­minta seluruh orang Melayu berkabung pada hari itu dengan melilit kain putih pada songkok mereka selama seminggu.

Utusan Melayu kelua­ran hari Perisytiharan Malayan Union itu meminta: “Tiap orang Me­layu di Semenanjung mestilah berada dalam keadaan berkabung”.

Dalam Kongres Melayu kali ketiga itu Datuk Onn me­ngakui “perjumpaan kita hari ini terbit daripada seruan Utusan Melayu”.

Datuk Onn juga telah me­nulis surat kepada Pengarang Utusan Melayu, Yusof Ishak yang memberikan pujian kepada Utusan Melayu kerana membangunkan orang Melayu dan membawa kepada penubuhan UMNO”.

“Inilah masanya Utusan Melayu mula menunjukkan ke­pada dunia umumnya dan kerajaan British termasuk rak­yat Tanah Melayu dan Si­ngapura khususnya bahawa bukan hanya Hang Tuah seorang sahaja yang yakin Me­layu tidak akan hilang di dunia tetapi Utusan Melayu juga ya­kin Melayu akan terus hidup dan maju jaya,” (Hashim Hassan 1982: 429).