Yusof menjelaskan prinsip Utusan Melayu tetap sebagai sebuah akhbar yang bebas meskipun berada dalam suasana yang berbeza dengan operasi di Queen Street dan Cecil Street Singapura ketika berucap di upacara pembukaan Ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur pada 6 Februari 1958.

Ucapan bersejarah daripada Yusof Ishak itu telah disiarkan dalam akhbar Utusan Melayu pada 7 Februari 1958, muka surat 3. Transkrip itu juga turut dimuatkan dalam buku Utusan Melayu 10 Tahun (1958).

Sebagai Pengasas, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Yusof Ishak mengakui beliau adalah manusia yang paling gembira kerana akhbar yang dipimpinnya itu kini telah melebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur, ibu negara Malaya.

Sebagai pengasas Utusan Melayu, Yusof masih berpegang kepada tiga asas utama iaitu agama Islam, kebangsaan dan tanah air.

“Utusan Melayu terus berjuang untuk cita-cita. Bertambah besar dari yang sudah-sudah tugas Utusan di masa depan,” kata ketika

Yusof menyifatkan beliau dan petugas Utusan Mela­yu yang mempertahankan dan memperjuangkan ‘Lidah Melayu’ sebagai hamba kepada orang Melayu.

“Kami yang bekerja sebagai pengarah-pengarah dan kakitangan Syarikat Utusan Melayu adalah ‘hamba kepada bangsa Melayu’ yang menjalankan tugas bagi meninggikan mutu agama, bangsa dan tanah air,” akui Yusof Ishak.

Beliau mengimbau kembali detik-detik awal sembilan belas tahun dahulu ketika mengasaskan Utusan Melayu di Queen Street, Singapura.

Menurut Yusof Ishak dalam buku Utusan Melayu 10 Tahun (1958) dalam tempoh itu keba­nyakkan daripada pengasas awal Syarikat Utusan Melayu telah meninggal dunia.

“Demikian juga antara pekerja dan pengasuhnya yang mula-mula itu mereka telah kembali menghadap Tuhannya dengan tidak dapat melihat ha­sil dari usaha yang ditanam dan kejayaan yang dicita-citanya. Moga-moga roh mereka akan ada bersama-sama kita hari ini untuk menyaksikan hari bahagia, hari besar dan bersejarah bagi syarikat ini.

“Kalau ada yang patah, necaya adalah pula yang tumbuh. Dan demikianlah jika ada yang pergi maka ada pula yang datang.

“Tetapi syarikat ini berjalan terus, roda kemajuan berputar terus. Rancangan demi rancangan bagi kemajuan syarikat ini terus dijalankan (Yusof Ishak 1958).

Raja-raja Melayu beli syer Utusan melayu.

Menurut Yusof Ishak lagi, rancangan terbaharu Utusan Melayu ialah untuk meluaskan dan membesarkan lagi syarikat ini. Sejak itu, 8,000 orang membeli syer baharu Utusan. Manakala 4,000 orang Melayu lagi membeli syer menerusi Syarikat Federal Tran­sport Service Limited. Ini me­rupakan satu kejayaan besar Utusan Melayu.

“Di antara orang-orang yang membeli syer baru ini ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sendiri dan juga hampir-hampir kesemua Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu di Tanah Melayu ini.

“Ini adalah bukti yang me­nunjukkan dengan nyata bahawa bangsa Melayu seluruhnya dari setinggi-tinggi darjatnya membawa kepada serendah-rendahnya adalah menaruh cukup keyakinan dan kepercayaan kepada perjalanan dan perusahaan bangsa mereka sendiri ini” (Yusof Ishak 1958).

Berbagai-bagai 
faham politik

Menurut Yusof Ishak, daripada 12,000 ahli-ahli keluarga Utusan Melayu ini pula adalah terdiri pelbagai fahaman politik.

“Ada yang cenderung ke kanan, ada pula yang cenderung ke kiri dan ada pula yang sederhana. Jumlah orang-orang yang tidak menyebelahi mana-mana pihak pun tidak sedikit bilangannya.

“Oleh yang demikian, perkara salah sangka dari setengah-setengah pihak yang mengatakan surat khabar-surat khabar dan majalah-majalah yang diterbitkan oleh Syarikat Utusan Melayu ini berat sebelah, yang sebenarnya adalah satu tuduhan yang tidak berasas,” jelas Yusof.

Bagaimanapun, pada tahun 1959, Yusof Ishak meletakan jawatannya sebagai Pengurus Besar dan Ketua Pe­ngarang Utusan Melayu apabila didesak oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman supaya mengikut te­lunjuk pemerintah.