P. Ramlee bersahabat baik dengan wartawan Utusan Melayu seperti A. Samad Ismail, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Ahmad Idris (ABI) dan wartawan asuhan­nya, Aimi Jaar yang menulis untuk majalah Gelanggang Filem dan Abdullah Hussain yang mendalikannya majalah Bintang.

Menurut Abi dalam tulisannya bertajuk P.Ramlee yang saya kenal: Satu Imbauan Peribadi (2003) yang diterbitkan dalam buku P. Ramlee Se­niman Agung oleh Arkib Negara Malaysia, semasa P.Ramlee menjejakkan kaki­nya di Studio Jalan Ampas pada penghujung 1948, filem ‘Pisau Beracun’ sedang dalam penggambaran oleh pengarah B.S Rajhans.

Filem tersebut adalah terbitan ketiga keluaran Malay Filem Production (MFP) sejak studio beralamat di No. 8 Jalan Ampas itu memulakan pengeluaran semula filem Melayu selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

“Chinta ialah filem pertama P.Ramlee menghiasi layar perak filem Melayu sebagai pelakon tambahan. Badannya yang kurus, mukanya yang cengkung, pipinya yang tidak licin dan gerak-gerinya yang kaku semasa berlakon tidak memberi ilham kepada B.S. Raj­hans menjadikan sebagai hero filem” (Ahmad Idris 2003: 344).

Menurut ABI, pelakon handalan seperti S.Roomai Noor, Osman Gumanti dan M.Amin terus diberi peluang menjadi hero di dalam filem-filem yang dikeluarkan oleh studio MFP ketika itu.

Menurut Mustafar A.R dan Aziz Sattar dalam buku ‘Filem-filem P.Ramlee’ (2008), tidak banyak dapat diperkatakan mengenai lakonan P. Ramlee dalam filem ini disebabkan pe­ranannya sebagai pelakon pembantu memegang watak antagonis bernama Putar, iaitu watak jahat pada mulanya kemudian menjadi seorang yang baik.

“Sebagai pelakon baru dan buat pertama kali pula berdepan dengan kamera, lakonan P. Ramlee terlalu ba­nyak kelemahan. Lakonannya kelihatan kaku, penuturan dialog tidak tersusun kemas dan seringkali pula tersekat-sekat. Begitu pun, ini tidak boleh disalahkan kepada P.Ramlee kerana dialog pada ketika itu memang tidak disusun de­ngan baik dan lebih banyak mirip keindonesiaan dan kebangsawanan” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008: 15).

Nama P. Ramlee mula dikenali ramai apabila akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika mula memberikan liputan yang meluas terhadap bakat terpendam yang dimiliki oleh P. Ramlee sejak filem Chinta (Oktober 1948), Noor Asmara (April 1949, Nasib (Julai 1949), Nilam (September 1949) dan Racun Dunia (Februari 1950).

Pada April 1950, pe­ngarah L.Krishnan buat pertama kalinya memberikan watak hero kepada P.Ramlee di­samping heroinnya, seniwati Kasma Booty dalam filem ‘Bakti’ arahan terbarunya.

L. Krishnan tergerak me­ngambil P.Ramlee berlakon selepas menonton lakonan beliau sebelum ini seperti filem Noor Asmara, Nasib dan Nilam.

“Agak menarik apabila P. Ramlee digandingkan de­ngan Kasma Booty, pelakon yang begitu terkenal pada masa itu manakala S.Roomai Noor dan Siput Sarawak yang sering membawa peranan utama yang mempunyai ramai peminat diserahkan L.Krishnan sebagai pelakon pembantu” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008: 41).

Pada mulanya, Kasma Booty enggan berlakon disamping P. Ramlee sebagai hero kerana beliau tidak ada pengalaman, tidak kacak dan tidak sesuai memegang watak utama.

Bagaimana setelah dipujuk L.Krishnan, Kasma Booty bersetuju.

Percubaan L.Krishnan itu berjaya dan lakonan P.Ramlee tidak mengecewakannya. L.Krishnan berpuas hati ke­rana berjaya mencipta seorang hero baru di MFP.

Akhbar Utusan Melayu, Ut­usan Zaman, Straits Times dan Sunday Times keluaran 2 April 1950 melaporkan kejayaan P. Ramlee sebagai hero baru filem Melayu dalam filem Bakti.

Utusan Me­layu menjulang bakat P.Ramle dengan kata-kata: “Filem Melayu telah menemui sebutir bintang baru”. “P. Ramlee menjanjikan harapan baru” dan “bakat besar P. Ramlee terserlah dalam Bakti”.

Kasma Booty sendiri terkejut dan tidak menyangka lakonannya dalam filem Bakti bersama P.Ramlee mendapat pujian media serta sambutan hebat dari peminat filem Me­layu di Singapura dan Malaya .

“Bakti seharusnya menjadi juara bagi Malaya Film Productions. Filem Melayu yang terbaru ini menunjukkan bukti tentang sesuatu yang meningkat naik dengan pesatnya dari segi pengeluaran dan arahan” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008).

“Lakonan istimewa P. Ramle menjadi”. Komentar membina dari akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman menerusi filem ‘Bakti’ serta lakonan terpuji P.Ramlee, Kasma Booty, Siput Sarawak dan S.Roomai Noor memberikan gambaran Studio MFP di Singapura menjanjikan masa depan filem Melayu yang gemilang.

Utusan Melayu menggambarkan “P.Ramlee sebagai seorang hero baru dalam pembikinan filem Melayu” yang bakal menggegarkan dunia perfileman di Singapura dan Malaya.

Susulan kejayaan besar filem Bakti, P.Ramlee diberi peluang menjadi hero dalam filem seterusnya ‘Takdir Ilahi’.

“Kalau dalam filem Bakti, P.Ramlee sebagai hero boleh bergantung kuat pada pa­sangannya Kasma Booty serta kehadiran Siput Sarawak dan S.Romai Noor tetapi dalam filem ini dia terpaksa bergantung di atas kemampuan dan kebolehannya sendiri.

“L.Krishnan nampaknya begitu nekad meninggalkan Kasma Booty, S.Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mana mereka bertiga begitu popular ketika itu malahan diberikan­nya pasangan P.Ramlee seorang pelakon baru, Neng Yatimah” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar 2008:46).

Keyakinan L.Krishnan me­­nyerahkan peranan utama kepada P.Ramlee tidak mengecewakan malah sam­butan pe­minat-peminat filem Melayu di luar dugaan. Nama P.Ramlee mula meniti di bibir peminatnya.

Menurut Ahmad Fauzee dalam buku P.Ramlee Irama Sanubari Episod 1 (2015), filem Bakti sebagai filem pertama P.Ramlee menjadi hero begitu istimewa kerana terdapat tujuh buah lagu menarik ciptaan Osman Ahmad, Antara lagu popular dalam filem ini ialah Satay, Merpati Dua Sejoli, Hidup Berdua, Hidup Melarat dan Taman Puspawarna.

“Seperti biasa, lagu-lagu ini menjadi popular kerana P.Ramlee menyanyikan ke­semua lagu ini yang mendapat sentuhan lirik S. Sudarmaji” (Ahmad Fauzee 2015: 106).

BERSAMBUNG...