Utusan Melayu turut menyifatkan Desa Pingitan sebagai sebuah karya besar yang berjaya mengangkat permasalahan penduduk desa terpencil setaraf dengan karya-karya Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Salina (A. Samad Said) dan Saga (Abdul Talib Hassan).

Pengarangnya, Ibrahim Omar menggambarkan latar novel Desa Pingitan sebagai sebuah kampung permai, indah lagi makmur di Tanah Melayu (Kampung Mela) yang dihubungkan dengan dunia moden dan hanya boleh ditembusi jalan kereta api untuk ke bandar berhampiran seperti Jerantut, Kuala Lipis dan Temerloh di Pahang.

Ibrahim Omar yang dilahirkan di Kampung Mela, Jerantut pada tahun 1932 pernah menjadi Penyun­ting Kanan Utusan Zaman dan Utusan Melayu (1975-1990) menulis novel tersebut ketika berusia 26 tahun.

DESA Pingitan sebuah novel besar yang mengupas kehidupan sosial masyarakat pedalaman di luar bandar
DESA Pingitan sebuah novel besar yang mengupas kehidupan sosial masyarakat pedalaman di luar bandar di Tanah Melayu era 1960-an.

Novel itu pernah memenangi hadiah kedua Pera­duan Mengarang Novel Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1962.

Menurut pengenalan dalam no­vel Desa Pingitan cetakan pertama 1964, novel itu merupakan yang terbaik di antara novel-no­vel yang menyertai sa­yembara tersebut kerana tidak ada karya yang layak diberikan hadiah pertama.

“Pertentangan cara berfikir lama dan baharu serta unsur-unsur baik dan buruk yang menyelubungi jiwa pemuda dan pemudi kita dalam zaman peralihan cara hidup dan cara berfikir ini dibentangkan dengan satu gaya yang agak tersendiri bagi penulisnya” (petikan pengenalan Desa Pingitan 1964).

Pengarang Desa Pingitan sesungguhnya telah berjaya mempersembahkan karyanya dengan baik serta sesuai dengan semangat pembangunan kebangsaan di negara merdeka yang sedang membangun ini. Pada keseluruhannya novel tersebut berjaya memaparkan pergolakan jiwa, semangat, fikiran dan cita-cita angkatan muda zaman pembangunan (Desa Pingitan 1964).

Desa Pingitan sebenarnya merupakan gambaran daripada pergolakan kebangsaan anak-anak merdeka yang berjuang menempuh berbagai-bagai ma­salah rohani dan jasmani – masalah membebaskan, di samping mela­yakkan diri ma­sing-masing untuk hidup di taraf yang sesuai dalam negara yang merdeka” (Desa Pingitan 1964).

Menurut Dr. Aminuddin Mansor dalam rencana bertajuk: “Memetik Keistimewaan Desa Pingitan” dalam Mingguan Malaysia 5 Disember 2010, keistimewaan novel ini ditulis oleh seorang remaja desa me­ngenai dirinya sendiri, kawan-kawan dengan memaparkan suasana kampung yang mula diresapi pelbagai gejala sosial.

Novel cetakan pertama (1964) terbitan DBP setebal 414 halaman itu pernah diangkat menjadi buku teks wajib di sekolah-sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1966 hingga 1968.

Dr. Aminuddin dalam tulisannya, Novelis Desa Pingitan Ibrahim Omar meninggalkan lebih 50 buah novel dan ratusan cerpen” (16 April 2011) yang tersiar di laman Portal Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), menyifatkan Ibrahim sebutir bintang di langit sastera, wartawan dan pendidik di Pahang.

“Ibrahim Omar tetap dikenang sebagai wartawan-novelis yang menerangi hati dan akal budi bangsanya dengan falsafah kemurnian hidup di desa yang kaya de­ngan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang mesti dikekalkan,” tulis Aminuddin lagi.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pula dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 3 Jun 2018 menyatakan, novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar merupakan sebuah karya besar yang perlu dicetak se­mula dan dibaca oleh generasi sekarang kerana ia mengan­dungi nilai-nilai murni dalam masyarakat Melayu yang kaya dengan adat, budi bahasa dan sopan santun.

“Kesimpulannya, novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar ini sarat dengan kehidupan masyarakat desa yang diceritakan oleh pengarang dengan nilai akal budi, pertentangan masalah sosial dalam kehidupan masyarakat Melayu di Pahang pada era 1960-an yang menuju ke arah mencari nilai-nilai moral yang sewajarnya” (Aminuddin Mansor 2010).