Penghujung 1974 diingati lantaran kemelesetan ekonomi dunia kian parah manakala harga barang-barang keperluan asas melambung ke tahap tidak munasabah sehingga tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.

Tun Abdul Razak menegaskan biarpun masalah inflasi merupakan masalah sejagat dan di luar kawalan kerajaan yang sukar hendak diatasi dengan sepenuhnya kerana bukan berlaku di negara ini sahaja tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, usaha membendungnya perlu dilakukan supaya tidak menjejaskan kehidupan rakyat khususnya di luar bandar.

“Sebagai langkah anti-inflasi kita telah melancarkan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan menggalakkan semua rakyat baik di kampung mahupun di bandar bercucuk tanam dan berternak supaya kita dapat mengeluarkan barang-barang makanan untuk kegunaan sendiri dan dengan itu menahan tekanan inflasi.

“Dalam keadaan inflasi dan kemerosotan ekonomi yang kita hadapi sekarang, amatlah mustahak kita mengeluarkan sebanyak-banyak barang makanan yang perlu untuk kegunaan kita sendiri dan yang selebihnya dieksport khasnya kepada negara-negara jiran tetangga” (Koleksi Ucapan Tun Abdul Razak 1970-1975).

Akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia memberikan liputan meluas pelancaran Buku Hijau itu bagi menyedarkan rakyat bahawa usaha-usaha mengekang inflasi memerlukan penyertaan menyeluruh rakyat seperti dihasratkan oleh kerajaan.

“Kita masih mempunyai banyak kawasan tanah untuk bercucuk tanam dan berternak kerana sektor pertanian akan tetap menjadi asas ekonomi kita untuk beberapa tahun akan datang. Di sam­ping itu, kita akan menggiatkan perkembangan perindustrian yang berlandaskan pertanian dan di mana perlu mempro­ses bahan-bahan mentah kita sendiri untuk pasaran dunia dan juga mengadakan pekerjaan kepada rakyat yang semakin bertambah.

“Buat kesimpulannya, dasar kita mengeluarkan sebanyak-banyak barang makanan yang perlu dan juga mengadakan pekerjaan secukupnya untuk rakyat. Kalau kita berjaya mencapai matlamat ini maka ekonomi negara akan mempunyai asas yang kukuh dan Malaysia akan terus berkembang maju setanding dengan negara-negara yang telah maju di dunia ini” (Koleksi Ucapan Tun Abdul Razak 1970-1975).

Tun Musa Hitam dalam bukunya Nasionalisme: Krisis dan Kematangan (1986) me­negaskan, harus diakui bahawa Buku Hijau merupakan wa­risan Tun Abdul Razak sebagai suatu strategi pembangunan untuk menggerakkan rakyat dan jentera kerajaan supaya bertindak memperbaiki nasib rakyat khususnya di luar bandar.

“Masalah utama yang kita hadapi masa itu ialah inflasi dan kemelesetan ekonomi dunia. Inflasi dan kemelesetan ekonomi dunia telah menjejaskan hidup kita, terutama dalam kalangan pesawah, pekebun kecil dan nelayan. Dan Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan itu menjadi langkah kongkrit dan munasabah oleh pihak kerajaan bagi mengatasi inflasi dan menambah penge­luaran bahan makanan. Hasilnya beban inflasi telah dapat dikurangkan. Bekalan bahan makanan negara telah dapat ditingkatkan” (Musa Hitam 1986: 235).

Musa mengakui beliau mempunyai kepentingan dan sentimen yang kuat terhadap Buku Hijau ke­rana terlibat secara langsung dalam menggubal Rancangan Buku Hijau tersebut seperti diarahkan oleh Tun Abdul Razak.

“Ini adalah kerana saya sendiri telah ditugaskan oleh Tun Abdul Razak untuk berdepan dengan sekumpulan petani, pelajar dan orang kampung seramai lebih 10 ribu yang gelisah akibat keadaan ekonomi ketika itu. Ini ialah peristiwa di Baling, Kedah.

“Kerajaan bersimpati dengan mereka dan sebagai salah satu usaha meringankan penderitaan rakyat di kampung, kerajaan telah melancarkan Rancangan Buku Hijau yang benar-benar telah mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Lanjutan dari kejayaan itulah, maka kerajaan telah melancarkan pula pada 1976 Rancangan Buku Hijau Peringkat Kedua. Pelancarannya dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Hussein Onn di Kampung Kunluang di Kubang Pasu, Kedah. Rancangan ini telah menegaskan bahawa bidang pertanian yang diuruskan secara mo­den, intensif dan untuk perda­gangan lebih menguntungkan rakyat dan negara” (Musa Hitam 1986: 236).

Menurut Musa, hasrat kerajaan membangunkan semula Rancangan Buku Hijau bertujuan menggalakkan rakyat khususnya di luar bandar membentuk sikap menolong diri sendiri melalui usaha-usaha bercucuk tanam dan berternak di sekeliling rumah untuk ke­perluan sendiri.

“Sifat-sifat rajin bekerja, berdikari dan bekerjasama perlu dipupuk dalam kala­ngan rakyat, khasnya dalam kalangan masyarakat kita yang duduk di luar bandar.

“Masyarakat kita yang tinggal di kampung-kampung haruslah melengkapkan diri dengan semangat yang kuat untuk sanggup mengubah sikap. Semoga kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang lebih rajin, tekun dan berdikari bagi mencapai matlamat yang dihasratkan ini” (Musa Hitam 1986: 237).