Zainuddin dan beberapa orang pemberita serta jurugambar telah keluar dari Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada pukul 5.30 petang untuk membuat liputan perarakan orang Melayu yang diketuai Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Harun Idris yang akan bermula dari Jalan Raja Muda di Kampung Baru.

“Kami kemudian tiba di kawasan rumah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor di mana perhimpunan untuk perarakan diadakan. Perhimpunan itu keluar dari rumah tersebut lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Apabila rusuhan meletus saya terus berjalan pulang ke rumah di Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru kerana memikirkan perintah berkurung pasti akan dikuatkuasakan. Sepanjang perjalanan pulang itu saya melihat kejadian-kejadian yang tidak akan dapat saya lupakan se­umur hidup saya” (Zainuddin Maidin 1980: 87).

Malam itu, orang Melayu di Kampung Baru yang sudah hilang sabar mengamuk di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur seolah-olah kehausan darah. Suasana amat mengerikan. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Pemuda-pemuda Melayu yang tidak berbaju dan bermandikan minyak bertukar menjadi ninja berkeliaran mencari mangsa dalam kegelapan malam.

“Pada malam itu tidak ada penduduk Kampung Baru yang tidur. Semua berada dalam kecemasan seperti menunggu saat kematian sambil memerhatikan langit merah oleh cahaya api yang menjulang di sana-sini di kawasan Chow Kit” (Zainuddin Maidin 1980: 87).

AKHBAR Utusan Malaysia pada 23 Mei 1969 bertajuk “Kg. Bharu - Jalan Chaw Kit kembali aman”.
AKHBAR Utusan Malaysia pada 23 Mei 1969 bertajuk “Kg. Bharu - Jalan Chaw Kit kembali aman”. 

Tunku Abdul Rahman dalam buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas (2007) menceritakan, pada petang 13 Mei, Datuk Harun Idris selaku Pengerusi UMNO negeri Selangor bersetuju dengan permintaan ah­linya untuk melakukan perarakan kemenangan.

“Ketika mereka sedang berhimpun di halaman rumah Datuk Harun, tiba-tiba berita di­terima yang menyatakan orang Cina menyerang orang Melayu di Setapak, kira-kira satu atau dua batu menghala ke utara, semasa orang Me­layu dalam perjalanan untuk mengambil bahagian dalam perarakan yang bergerak dari Jalan Raja Muda.

“Berita itu segera menaikkan berang orang Me­layu yang sedang berhimpun dan mereka terus mengamuk dengan tidak dapat dikawal lagi. Dua orang Cina yang me­lalui jalan itu dengan menunggang motosikal diserang dan dibunuh. Dengan itu bermulalah rusuhan 13 Mei yang meletuskan kekacauan yang belum pernah berlaku sepertinya dalam sejarah Malaysia” (Tunku Abdul Rahman 2007: 83).

Pada malam itu, Tunku menceritakan beliau tidak dapat tidur apabila mengenangkan tragedi dahsyat yang me­nimpa ibu kota Kuala Lumpur yang aman damai selama ini.

“Saya berdiri di beranda luar bilik tidur saya dan menghalakan pemandangan saya ke bandar sambil memerhatikan api yang menjulang tinggi di beberapa kawasan berhampiran Kampung Baru dan di sebelah utara.

“Kuala Lumpur telah menjadi bandar yang terang dengan api kebakaran di sana sini dan dapat dilihat dengan jelas dari rumah saya yang terletak di atas bukit. Itulah satu pemandangan yang amat menyedihkan dan saya tidak menyangka saya akan me­nyaksikan kejadian yang se­perti itu semasa hayat saya.

RUMAH kedai yang hangus terbakar di jalan campbell, Kuala Lumpur pada 13 mei 1969.
RUMAH kedai yang hangus terbakar di jalan campbell, Kuala Lumpur pada 13 mei 1969. 

“Api yang menjilat bangunan itu telah menghanguskan segala usaha saya dalam beberapa tahun yang lepas untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang bahagia dan aman dan juga menghancurkan impian saya hendak menjadi Perdana Menteri yang pa­ling bahagia sekali di dunia ini” (Tunku Abdul Rahman 2007: 81).

Berikutan perintah berkurung, akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia tidak terbit selama lima hari kerana pekerja tidak dapat datang be­kerja.

SEBAHAGIAN orang ramai di kawasan kuala lumpur dan petaling jaya menunggu di luar bangunan Kebajikan
SEBAHAGIAN orang ramai di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menunggu di luar bangunan Kebajikan Masyarakat di Jalan Brickfields untuk mendapatkan bantuan makanan ketika tragedi 13 Mei 1969.

Akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu keluaran 14 Mei 1969 yang menyiarkan kenyataan Tunku Abdul Rahman yang bertajuk “Saya akan menarik diri” juga tidak dapat dibaca oleh rakyat Malaysia kerana tidak dapat diedarkan ke kedai-kedai kerana kekacauan meletus di ibu kota Kuala Lumpur pada 13 Mei.

Ketua Pengarang Utusan Melayu, Melan Abdullah sendiri terpaksa membawa beberapa ribu naskhah akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dengan keretanya untuk dijual di Kampung Baru.

  • ESOK: MAGERAN TADBIR NEGARA.