Menurut Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan dalam buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda susunan Zairudin Hashim terbitan ABIM Press (April 2019), Anwar mempunyai pengalaman yang menarik berbanding dengan tokoh pemimpin lain, beliau diakui merupakan antara personaliti yang capaian pengaruhnya merentasi kaum,agama,ideologi dan sempadan.

“Pendedahan kepada idea-idea dan pemikiran Anwar telah membuka mata dan sedikit sebanyak mempengaruhi gaya berfikir dan pandangan yang lebih terbuka dan progresif.

“Pemimpin yang hebat pastinya sentiasa menginspirasikan. Jarang kita lihat ada pemimpin yang mampu mempengaruhi pemikiran terutama anak muda untuk meminati karya-karya hebat pemikir dunia. Anwar antara personaliti yang begitu mempengaruhi minat pembaca sehingga mendorong untuk sesiapa menelaah buku-buku tentangnya sejak dari bangku sekolah lagi,”(Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda;3)

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 1996 melaporkan Anwar Ibrahim memasukkan teks Ikr
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 1996 melaporkan Anwar Ibrahim memasukkan teks Ikrar Belia Malaysia ke dalam bekas khas sempena Sambutan Hari Belia Negara sambil diperhatikan oleh Muhyiddin Yassin (kiri) dan Presiden MBM, Suhaimi Ibrahim di Stadium Negara, Kuala Lumpur. 

Penulis, Jufitri Joha pula dalam buku yang sama menggambarkan Anwar sebagai seorang pemimpin generasi The Angry Youngmen iaitu generasi pemimpin mahasiswa dan belia yang berasaskan issue-oriented yang tegar memperjuangkan isu rakyat kebanyakan.

Kepimpinan yang bukan project orien­ted atau developmet oriented atau dalam erti kata lain generasi ini adalah generasi yang paling lantang menjadi advokator memperjuangkan kepentingan belia dan masyarakat.

Generasi The Angry Youngmen diketuai seorang anak muda yang lahir daripada keluarga bangsawan di Permatang Pauh iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar. Dahulu dua pergerakan berpengaruh tanah air iaitu mahasiswa dan belia adalah amat rapat dan sinonim dengan Anwar.

“Anwar yang mengetuai Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil pendekatan The Angry Youngmen dan anti-establishment. Anwar dalam tulisannya, Peranan Belia Dalam Negara Membangun jelas memerikan peranan belia sebagai catalyst iaitu pemimpin masa hadapan dan masa sekarang perlu menyelami denyut nadi masyarakat akar umbi.

“Sebagai pemimpin, Anwar telah memainkan peranan yang baik sebagai catalyst jurubicara belia dan masyarakat pada waktu tersebut dengan kemuncak MBM pada penggal kedua kepimpinan beliau dalam Demonstrasi Baling pada Disember 1974 sehinggakan Anwar dan 10 orang pemimpin belia ditahan dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyebabkan MBM berpecah teruk.

Kepetahan dan kelantangan Anwar dalam berpidato menambahkan lagi pakej kepimpinan semula jadi pemimpin itu sebagai ikon perjuangan mahasiswa dan belia yang berjaya menarik dan memukau generasi muda untuk menjadi pengikut dan pendukung gerakan The Angry Youngmen. Pidato Anwar sarat dengan retorik, fakta-fakta dan perkataan-perkataan bombastik yang menambahkan lagi kekaguman anak muda kepadanya sehingga ramai yang meniru gaya ‘sengau’ pidatonya.

Selain memimpin ABIM, beliau juga Presiden MBM yang ke-5 menggantikan Tunku Abdullah Tunku Abdul Rahman. Anwar pernah menduduki jawatan Setiausaha Agung MBM (1970-1972) dan Ahli Jawatankuasa MBM sebagai ahli jemputan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) .

Kepimpinan Anwar bukan hanya menerajui MBM, tetapi juga bertanggungjawab sebagai Pengerusi Hari Belia Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Seminar Pembangunan Masyarakat.

Akhbar Utusan Malaysia pada muka depan bertarikh 16 Mei 1996 melaporkan, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melafazkan Ikrar Belia bersama Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MBM, Suhaimi Ibrahim sempena Hari Belia Negara yang diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Bertemakan Belia Penggerak Agenda Perdana Negara, sambutan tersebut dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan dan MBM.

Pada sambutan itu, para belia negara berikrar antara lain untuk menjadi golongan yang taat kepada tuhan, setia kepada negara dan bangsa, yakin kepada diri sendiri serta berani dan rela berjuang untuk menegakkan kebenaran.

Berita bertarikh 15 Mei 1996 bertajuk “Berundur jika gagal memimpin belia-Anwar” memetik Anwar meminta mana-mana pemimpin belia yang gagal menarik minat generasi muda menyertai persatuan dan kegiatan yang mereka anjurkan supaya segera mengundurkan diri.

Kata Anwar, demi kepentingan generasi muda dan pembangunan negara, pemimpin terlibat mestilah menyerahkan jawatan masing-masing kepada pemimpin baharu yang berupaya menjalankan tanggungjawab tersebut.

“Kalau pemimpin belia tidak dapat menarik minat anak-anak muda untuk bersama mereka, pemimpin belia itu harus meninggalkan jawatan mereka dan serahkan kepada pemimpin yang boleh menjalankan tanggungjawab tersebut,”tegasnya.