Semasa berkhidmat de­ngan Utusan Melayu, Kajai pernah membuat kritikan terhadap akhbar Majlis bagi mempertahankan ‘Takrif Melayu’ yang diperjuangkannya. Beliau tidak bersetuju dengan akhbar Lembaga Malaya yang pernah mengkritik pergerakan Kebangsaan Melayu dan mewujudkan ‘Takrif Songkok’.

Abdul Latiff Abu Bakar dalam buku Abdul Rahim Kajai: Wartawan dan Sasterawan Melayu (1984) menyatakan Kajai tetap istiqamah mempertahankan ‘Takrif Melayu’ yang diperjuangkannya sepenuh jiwa dan raga.

“Kajai turut membalas kritikan-kritikan akhbar lain yang anti Utusan Melayu serta Utusan Zaman dan menuduh akhbar-akhbar Melayu ini sebagai anti Islam, merosakkan bahasa Melayu dan mengajar orang-orang Melayu merosakkan perpaduan orang-orang Islam” (Abdul Latiff Abu Bakar 1984:81).

Pegangan Abdul Rahim Kajai jelas melalui Rencana Pengarang bertajuk: Jaga-jaga Racun dalam Madu yang disiarkan oleh Utusan Zaman 9 November 1940, halaman 14.

Kajai berkata: “...akhbar Lembaga ini telah bekerja kerana meruntuhkan ‘Takrif Melayu’ dan merosakkan perjalanan Kesatuan Melayu Johor dengan tiada pandang memandang lagi kepada orang-orang besar Johor yang sentiasa memberi kehormatan kepadanya”.

Walaupun Kajai tidak terdidik dalam ilmu kewartawanan tetapi beliau memiliki kebolehan istimewa fasih berbahasa Inggeris dan Arab.

A.Samad Ismail dalam buku A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan (1991) yang diselenggarakan oleh A. Karim Haji Abdullah menyatakan Kajai sebagai seorang pe­ngarang, medan perjuangannya ialah surat khabar, senjatanya ialah pena. Utusan Melayu bertuah memiliki Kajai. Apa yang difikirkannya baik untuk bangsa Melayu maka ditulisnya dalam Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika.

Menurut A. Sa­mad Ismail, selama 13 tahun terbabit secara langsung mengendalikan pelbagai akhbar daripada tahun 1930 di Saudara, Majlis (1935), Warta Malaya (1939) lalu berhijrah ke Utusan Me­layu sehingga akhir hayatnya pada tahun 1943 ketika memimpin Berita Malai (akhbar pro­paganda Jepun gabungan Utusan Melayu dan Warta Malaya), kita dapat melihat de­ngan jelas sekali betapa hebatnya kesungguhan Kajai membabitkan dirinya di bidang ke­wartawanan.

“Kita kagum ke­rana Abdul Rahim Kajai melakukan semua ini dalam masa yang singkat. Lebih kurang lima tahun di Saudara, kira-kira empat tahun di Majlis, kira-kira empat tahun di Warta Malaya dan lebih kurang tiga tahun di Utusan Melayu” (A. Samad Ismail: 1991: 116).

Biasanya, sebaik tiba di pejabat pada waktu pagi, Abdul Rahim terus membaca Morning Tri­bune dan Straits Times sebelum membelek Utusan Melayu dan Utusan Zaman untuk membuat perbandingan isi kandungannya. Namun, pantang Abdul Rahim apabila terdapat kesalahan ejaan atau kesilapan sesuatu dalam tajuk rencananya dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilakukan pekerja bawahannya.

Abdul Rahim lantas berta­nya: “Engkau tak baca ke rencana ini? Dah berapa lama kau jadi proof reader? Butuh aku pun lebih pandai” dia menjerit sambil menunjukkan ke bawah se­luarnya”.

Pernah suatu hari seorang pengatur huruf bernama Kadir (gelaran Kadir Yahudi) telah melakukan kesilapan mengecap untuk pruf nama Abdul Rahim Kajai tersalah eja menjadi ‘Abdul Rahim Kajalan’. Apabila kesilapan itu dike­tahui oleh Abdul Rahim, ketika itu juga beliau terus memanggil Kadir supaya datang me­nemuinya serta merta.

“Di sinilah Kajai menunjukkan kemarahannya dengan carutannya, perkataan salah masuk, salah sumbat diulang-ulangnya serta dengan aksi tangannya sekali.

“Pekerja-pekerja di bawah Abdul Rahim semuanya tahu perangai Abdul Rahim itu, apabila dimarahi Abdul Rahim, biasanya mereka tidak menjawab walau sepatah pun” (Abdul Latiff Abu Bakar 1984: 32).

Menariknya, selepas kira-kira sejam beliau marah-marah, Abdul Rahim akan belanja ‘kopi koleh’ yang berharga 10 sen kepada pekerja-pekerja bawahanya.

Pada 5 Disember 1943, Abdul Rahim Kajai yang mendapat jolokan ‘Bapa Wartawan Melayu’ itu meninggal dunia di Singapura ketika berusia 49 tahun.

Nama ‘Kajai’ yang popular di hujung namanya diambil sempena nama ‘Kampung Kajai’ tempat kelahiran bapanya, Haji Salim di Sumatera Barat, Indonesia. Nama sebenar beliau, Abdul Rahim Haji Salim.