Halaman Khas Yang Berhormat Mulia Ana Wak Ketok bertarikh 3 Disember 1939 itu dimulakan dengan kata-kata “Perkatakanlah yang benar walaupun atas dirimu”.

Pengenalan watak Wak Ketok yang tersiar dalam halaman tujuh, Utusan Zaman dengan kata-kata: “Hidung mancung kangkangnya bidang, Wak Ketok mengenalkan dirinya kepada sekelian alam”.

Siapa Wak Ketok?

Sejak diperkenalkan kepada pembaca Utusan Zaman, pojok Wak Ketok mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembaca dan menjadi popular dalam sekelip mata.

Pembaca sebenarnya terhibur dengan pelbagai sindiran dan karikatur yang menyentuh pelbagai isu semasa seperti politik, sosial dan kehidupan masyarakat era 1930-an dan 1940-an. Namun tiada siapa yang tahu siapakah sebenar­nya watak di sebalik nama Wak Ketok itu?

A. Samad Ismail dalam bukunya Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) me­nulis bahawa Ali Sanat adalah pencipta sebenar nama dan watak Wak Ketok namun begitu yang menghidupkan watak tersebut adalah Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Abdul Rahim Kajai.

“Wak Ketok sebenarnya ciptaan Ali Sanat. Dia yang memberikan nama karakter itu. Wak Ketok melambangkan karakter seorang Jawa” (A. Samad Ismail 1993:75).

A. Samad Ismail seterusnya menyatakan: “Wak Ketok berpakaian orang Jawa dengan belangkonnya, kopiah Jawa, selipar dan kainnya.

“Tetapi kerana Ali Sanat sekadar melukis sahaja karakter itu dalam berbagai-bagai gaya dan aksi sedangkan yang menghidupkan karakter itu ialah Kajai, maka pembaca menganggap Wak Ketok adalah ciptaan Kajai sebenarnya” (A.Samad Ismail 1993).

ALI SANAT adalah pencipta nama pojok Wak Ketok namun yang mengidupkan watak tersebut adalah Abdul Ra
ALI SANAT adalah pencipta nama pojok Wak Ketok namun yang mengidupkan watak tersebut adalah Abdul Rahim Kajai.

Kajai dalang Wak Ketok

Menurut Samad lagi, Ali Sanat diarah Abdul Rahim Kajai melukis karakter tersebut dalam pelbagai gaya dan aksi manakala beliau akan menempatkan watak Wak Ketok dalam berbagai-bagai situasi, menjiwai dan berlagak, membuat komen dan sindiran-sindiran terhadap isu-isu semasa.

“Bukan Ali Sanat yang mendalangi Wak Ketok tetapi Kajai. Ia menjadi ciptaan Kajai, suara Kajai,” tulis A. Samad Ismail lagi.

Sindiran tajam Abdul Rahim Kajai terserlah melalui Wak Ketok apabila beliau menghentam golongan Arab yang selama ini menganggap mer­eka yang memakai gelaran Syed atau Sheikh adalah lebih mulia kerana berketurunan Nabi Muhammad.

“Apa engkau fikir Sheikh-Sheikh sahajakah yang boleh pakai Yang Mulia? Aku pakai Yang Mulia kepada aku bukannya kepada engkau, orang apa peduli?” sindir Wak Ketok dalam pojok terbitan 12 November 1939 yang bertajuk Kalau hati busuk, busuk juga lukisan ajaib - daripada Yang Mulia Wak Ketok.

“Hidung mancung kangkangnya bidang, Wak Ketok mengenalkan dirinya kepada sekelian alam”.

Sidang pembaca silalah pandang

Gambar aku sudah terhidang

Hidung mancung kangkangnya bidang

Tanda berani di tengah padang

Wak Ketok nama tersebut

Misainya kasar umpama sabut

Tetapi jarang bagai diraut

Tanda Panglima alah bercabut

Berkain batik duduk bertaki

Tangan memegang payung sekaki

Corak dastarnya dilamun daki

Itulah tanda anak lelaki

Memakai capal bersilang empat

Tanda Panglima boleh melompat

Banyaklah gadis sudah mengumpat

Sebab cantiknya payah didapat.

Wak Ketok maknanya dalam

Bukan terang bukanlah kelam

Bukan pucuk bukanlah ulam

Bukanlah sambal di tepi talam.