Utusan Malaysia melaporkan, kisah itu semakin panas dan menjadi tajuk bualan orang ramai apabila ribuan penoreh getah di Baling sendiri mengadakan tunjuk perasaan setelah mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar universiti terlibat.

Menteri Pelajaran ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad telah mencabar pemimpin pelajar terlibat supaya memberikan nama orang yang didakwa mati kelaparan jika benar-benar berlaku dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak menyifatkan cerita itu hanyalah sebagai dusta semata-mata.

“Apabila seorang pensyarah Universiti Malaya, Profesor Zainal Abidin Wahid turut percaya kepada cerita ini, maka Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Mazlan Nordin telah mengarahkan saya untuk ke Baling bagi menjalankan siasatan, ” tulis Zainuddin Maidin dalam bukunya, Hari Itu Sudah Berlalu (2011).

Di Baling, Zainuddin mendapati kehidupan penoreh getah tertekan kerana harga barangan keperluan mening­kat dan harga sekati getah turun sehingga ke peringkat lebih rendah daripada harga sekati gula iaitu 25 sen sedang­kan harga sekati getah cuma 15 sen.

Pendapatan cuma 
50 sen sehari

“Cerita kesusahan hidup yang saya dengar di Kampung Weng Dalam dan juga di Kampung Tanjung Pari amat menyedih­kan. Penoreh-penoreh getah di kampung ini turun rumah pada pukul 5 pagi untuk menoreh hingga pukul 11 pagi dengan hanya mendapat kira-kira 50 sen saja sehari.”

Menurut Zainuddin, laporan khas yang disiarkan tiga hari berturut-turut dalam akhbar Utusan Malaysia pada 5 Januari hingga 7 Januari 1975, berita kononnya kes kebuluran berlaku di Baling yang diheboh-hebohkan sehingga berlaku mogok lapar dan tunjuk perasaan di kalangan penduduk Baling, hanyalah bersifat khabar angin semata-mata dan tidak berpijak di bumi nyata.

Keadaan kemiskinan di Ba­ling pada masa itu sebenarnya berpunca daripada ketidak­upayaan penduduk mencari sumber pendapatan baharu selain terus bergantung kepada hasil getah yang hanya memberi pendapatan 50 sen sehari.

Situasi ini diburukkan lagi oleh sikap pegawai-pegawai dan agensi-agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab tidak memainkan pe­ranan dengan berkesan untuk membantu penduduk terlibat mengubah ke arah penghidupan yang lebih baik menerusi khid­mat nasihat dan bantuan sewajarnya.

Justeru itu, apabila Menteri Perusahaan Utama, Datuk Musa Hitam diutuskan oleh Tun Abdul Razak bagi menyelesaikan masalah harga getah yang menghimpit kehidupan penduduk, secara spontan lebih 10,000 orang penduduk telah keluar berhimpun di hadapan Pejabat Daerah Baling.

Mereka mengadakan tunjuk perasaan sehingga merempuh pintu pagar Pejabat Daerah Baling dan menurunkan bendera negeri Kedah dan menaikkan seberkas ubi kayu yang diikat pada tali ben­dera sebagai simbol kemiskinan penduduk.

Ketibaan Musa dengan helikopter telah disambut de­ngan jeritan: “Musang hitam! Musang hitam!”

Beberapa orang petani yang menyertai tunjuk perasaan itu membawa cangkul dan parang telah ditahan oleh polis dikhuatiri membahayakan keselamatan orang awam.

Sebaik sahaja helikopter mendarat di kawasan penunjuk perasaan itu, Musa telah mengadakan pertemuan de­ngan Menteri Besar, Pegawai Daerah, pegawai-pegawai ke­rajaan, penghulu dan pegawai polis.

Biarpun situasi agak gempita dengan pekikan dan lau­ngan penunjuk perasaan yang sedang marah, Musa tidak mempedulikan nasihat supaya ja­ngan bertemu dengan penduduk terlibat.

“Sebaliknya, beliau (Musa) berjalan seorang diri ke arah orang ramai tanpa diiringi oleh polis sambil mengangkat tangan kepada mereka. Ini menyebabkan teriakan ‘musang hitam’ semakin kendur.

Musa berjaya menenangkan suasana dan menyuraikan tunjuk perasaan itu apabila dalam ucapannya beliau me­nyampaikan jaminan Tun Abdul Razak bahawa harga getah akan dinaikkan serta merta.

“Di samping itu, beliau juga memberitahu, penunjuk pe­rasaan yang ditahan akan dibebaskan segera dan kenderaan akan disediakan bagi menghantar pulang penunjuk perasaan yang telah berjalan kaki begitu jauh untuk me­nyertai perhimpunan di Baling antara mereka ialah penoreh getah dari Sik dan Jeniang” (Zainuddin Maidin 2011: 141).

Penyelesaian secara bijaksana, penuh diplomasi dan dramatik oleh Musa Hitam itu berjaya menamatkan demonstrasi petani di Baling tanpa sebarang kejadian buruk yang tidak diingini.